Kulim: Niat mungkin baik untuk mencari pahala dengan menyumbang pakaian terpakai buat individu yang dilanda musibah dan hidup dalam kesusahan.
Namun, ada antara mereka dikesan sanggup menyumbang pakaian yang bercampur baju serta seluar dalam koyak seolah-olah sengaja berbuat demikian dengan menganggap sukarelawan yang menghulur bantuan sebagai 'tong sampah'.
Itu yang terpaksa dihadapi Pengasas Pasukan Buru Amal Kulim, Nordin Abu Bakar, 40, setiap kali membuka plastik mengandungi pakaian yang diserahkan kepadanya untuk disumbangkan kepada golongan memerlukan.
Menurutnya, sejak aktif menjadi sukarelawan bermula pada 2017 lalu, sudah lima kali dia menerima sumbangan pakaian daripada orang ramai bercampur dengan pakaian dalam lusuh dan rosak dengan kes terbaru dikesannya berlaku semalam ketika sedang membuka bungkusan.
"Bukan saya mahu mengaibkan sesiapa namun bayangkan sekiranya bungkusan diterima tidak diperiksa dan terus diberikan kepada penerima, ini akan mengundang persepsi negatif kepada kami golongan sukarelawan.
"Selain saya, ramai lagi pasukan sukarelawan yang turut menghadapi masalah sama dan saya sangat berharap kepada insan yang ingin membantu supaya lebih ikhlas menghulurkan sumbangan," katanya yang turut mewakili beberapa rakan sukarelawan yang turut menerima nasib sepertinya.
Menurutnya, selain bungkusan berisi pakaian koyak, dia juga pernah menerima baju dan seluar yang tidak dibasuh serta berbau masam daripada orang ramai.
"Semua pakaian yang disumbang ini untuk diserahkan kepada mangsa banjir, kebakaran dan golongan asnaf yang amat memerlukan bantuan orang ramai sekiranya mereka dilanda musibah.
"Jadi, saya amat berharap kepada mereka yang ingin menyumbang pakaian supaya memeriksa terlebih dahulu dan tidak hanya tangkap muat ketika memberikannya," katanya.
Menurutnya, dia tidak kisah sekiranya golongan terbabit mahu berbuat demikian kerana jumlahnya tidak terlalu ramai namun kesal dengan perbuatan seumpama itu yang dilihat seperti tidak ikhlas dan seolah-olah memperkecilkan usaha golongan sukarelawan sepertinya.
"Bagaimanapun, saya memaafkan perbuatan mereka kerana menganggap ini satu dugaan dan cabaran kecil yang terpaksa ditempuh untuk melakukan kerja amal dan kebaikan kepada orang ramai.
"Saya cuma mahu memberi teguran dan nasihat bagi mengelak mereka yang pada awalnya berniat mahu membuat kebaikan namun bertukar sebaliknya dengan perbuatan itu," katanya.
Nordin berkata, dia memang mengalu-alukan sumbangan pakaian terpakai daripada orang ramai dan turut mengubah suai kawasan rumahnya semata-mata untuk pemberi sumbangan meninggalkan apa saja barang yang mahu diserahkan kepada golongan memerlukan.