|
London: Liverpool mengesahkan akan meneruskan projek memperluaskan Anfield Road Stand bermula minggu depan.
Kerja-kerja perluasan yang menyaksikan penambahan 7,000 tempat duduk dan kos bernilai £60 juta (RM342.7 juta) itu sudah mendapat kebenaran daripada Majlis Bandaraya Liverpool pada Jun lalu.
Ia akan menyaksikan kapasiti penonton di Anfield meningkat lebih 61,000 tempat duduk sekali gus menjadikannya venue ketiga terbesar di Liga Perdana di belakang venue Manchester United, Old Trafford dan Stadium Tottenham Hotspur.
Stadium London di West Ham yang mempunyai kapasiti 80,000 tempat duduk, hanya dibenarkan untuk dipenuhi dengan 60,000 penonton pada perlawanan bola sepak.
Pengarah Urusan Liverpool FC, Andy Hughes berkata: "Sejak daripada awal kami memahami untuk proses perluasan diteruskan, kami memerlukan kerjasama daripada penduduk dan komuniti tempatan.
"Kami perlu memastikan projek ini berjalan lancar dan kini dalam usaha untuk meneruskanya.
"Kami memulakan usaha ini sejak 2014 dan menghargai usaha semua pihak yang menjadikan projek ini menjadi kenyataan." - HMetro
|
|