|
Bersih tanpa terpalit kontroversi, malah Amira Othman tidak pernah dihambat gosip yang boleh menjejaskan reputasi selepas lapan tahun menceburi dunia seni.
Namun, ketika tampil dalam sidang media virtual mempromosikan single terbaharu berjudul Tragedi, baru-baru ini, Amira atau nama sebenar, Nadira Amira Othman mengejutkan wartawan apabila mengaku menyimpan hasrat mendekati jejaka bergelar 'Datuk'.
Kredit foto: IG Amira
Artis naungan Rocketfuel Entertainment ini mengaku teringin bertemu seorang 'Datuk' yang dikenali ramai.
"Saya sebenarnya teringin berduet dengan Datuk Hattan. Angan-angan saya... Belum ada perbincangan ke arah itu. Namun, siapa tahu, suatu masa nanti, apa yang diimpikan bakal menjadi kenyataan.
"Kalau ada rezeki, saya tak akan tolak. Tapi, tak tahulah, sama ada beliau sudi atau tidak?" katanya.
Amira mengaku menggemari suara garau dan serak-serak basah penyanyi Rendang Tak Berbuah itu.
"Kami tidak pernah berduet dalam mana-mana persembahan. Namun, seingat saya, kami pernah terbabit dalam persembahan beramai-ramai, suatu ketika dahulu.
"Saya tertarik dengan vokal Hattan. Saya fikir suara kami boleh 'blend'," katanya yang turut meminati suara 'jantan' Hazama.
Kredit foto: IG Amira
Sementara itu, mengulas mengenai single Tragedi, Amira berkata, lagu karya Sharon Paul itu dicipta pada 2011 dan dijadikan runut bunyi drama Malaysian Ghost Stories siaran Astro.
"Salah seorang pengarah drama itu, Izuan Mokhtar yang juga kenalan saya, berminat menjadikan lagu itu sebagai runut bunyi," katanya yang sebelum ini tampil dengan single Surat Akhir.
Sumber: BH Online
|
|