|
Young Lex tenang diduga
BERASAKAN ada pihak yang kurang senang dengan dirinya.
Penyanyi rap Indonesia dikenali, Young Lex mendedahkan dirinya pernah terpalit dengan isu dakwaan mengambil barang terlarang iaitu dadah sehingga akhirnya ditahan polis.
Detik cemas yang dilalui Young Lex pada tahun lalu itu, satu pengalaman hitam buat dirinya apabila perlu menjalani ujian air kencing.
Kisah terbabit dikongsikan Young Lex dalam satu temu bual di YouTube Uya Kuya TV sehingga menjadi perhatian ramai kerana selama ini dia dengan tegas berpendirian tidak ambil dadah.
"Saya pernah ditahan polis sekitar tahun lalu. Ketika kejadian, saya ditahan kerana terdapat kes penyalahgunaan dadah, tapi sedikit pun saya tidak gentar atau berasa takut.
"Polis menggeledah barang peribadi, memeriksa telefon bimbit serta minta saya buat ujian air kencing,"katanya.
Insiden yang menimpa Young Lex itu pastinya membuatkan keluarga tercintanya khuatir dan takut, namun bakat muda ini tenang menghadapi keadaan ketika itu.
Kata Young Lex, selepas menjalani ujian air kencing akhirnya keputusan mendapati dirinya negatif dadah.
"Cubaan menahan saya untuk kes dadah memang saya tak takut. Walaupun keadaan di rumah ketika itu sedikit kelam-kabut, tapi saya santai saja.
"Selepas polis menggeledah rumah, tiada apa yang mencurigakan. Proses siasatan juga berlangsung dengan cepat, kurang satu jam sudah selesai," katanya.
Mengakui ada pihak kurang senang dengan dirinya sehingga tergamak menyebarkan fitnah terbabit dan melaporkan kepada polis. Bagaimanapun, Young Lex enggan mengambil pusing dan terus memikirkannya.
"Saya tanya kepada polis siapa yang melaporkan perkara ini, tapi mereka merahsiakannya. Boleh jadi aduan yang diterima daripada orang yang benci, iri hati atau sesiapa saja.
"Namun, apa yang jelas saya berada di posisi yang betul dan tiada apa yang perlu ditakutkan.
"Jadi, selepas kejadian itu saya pun tak ambil masa lama untuk 'move on'. Banyak kerja lain yang perlu diselesaikan lagi," katanya.
Dalam pada itu, Young Lex tidak menafikan dirinya pernah mengambil dadah jenis ganja sekitar 2017.
Young Lex berkata, pengambilan ganja itu sekadar suka-suka dan bukan sebab ketagih.
"Saya tidak pernah mengambil dadah. Cuma, saya mengaku pernah cuba-cuba ambil ganja. Itupun sekadar suka-suka.
"Lagipun undang-undang di Indonesia menganggap ganja juga adalah dadah. Jadi, kita patuhi saja undang-undang yang sudah ditetapkan,"katanya.
Sumber:https://www.hmetro.com.my
|
|