Guru Wanita ditemukan meninggal dunia di dalam bilik rumahnya
Rembau: Telahan seorang lelaki mengenai perkara buruk berlaku terhadap jiran wanita berusia 54 tahun ternyata tepat apabila jirannya itu ditemukan meninggal dunia di rumah di Taman Dato Lela Maharaja, di sini, pagi hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, lelaki berusia 43 itu mendapati wanita berkenaan tidak keluar rumah sejak Ahad lalu selain keadaan rumah berkunci sebelum menghubungi polis untuk pemeriksaan.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, hasil pemeriksaan mendapati wanita yang bekerja sebagai guru itu dipercayai meninggal dunia sejak dua hari lalu.
"Jirannya mendapati mangsa tidak keluar rumah sejak 5 Ogos lalu selain pintu dan pagar dalam keadaan berkunci. Lelaki berkenaan cuba menghubungi telefon bimbit wanita itu, namun gagal.
"Dia mengesyaki berlaku sesuatu terhadap wanita itu dan terus menghubungi polis," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, wanita yang tinggal bersendirian itu ditemui dalam keadaan terbaring di atas katil di bilik utama sebelum pasukan perubatan dari Hospital Rembau mengesahkan wanita sudah meninggal dunia.
"Pemeriksaan terhadap badan dan tempat kejadian mendapati tiada kesan atau unsur jenayah sebelum mayat dibawa ke Hospital Rembau untuk ujian Covid-19 dan bedah siasat," katanya.
Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sumber : HMetro
|