KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing bersetuju terhadap cadangan agar sistem pilihan raya negeri dapat dijalankan secara berperingkat berbanding sebelumnya yang dihabiskan selama sehari sahaja.
Cadangan daripada bekas Ketua Pengarang dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Datuk Sri Azman Ujang itu jelasnya, boleh dipertimbangkan dengan pembukaan lebih banyak stesen undian untuk mengelakkan kesesakan ketika proses pengundian berlaku.
Katanya, proses pengundian sedemikian boleh dikatakan satu-satunya cara dan jalan keluar pengurusan pengundian ketika pandemik covid sekiranya rakyat ingin meneruskan sistem pemerintahan demokratik.
“Proses pengundian ini bagi saya merupakan satu-satunya solusi yang boleh mengatasi bahaya disebabkan oleh Covid-19.
“Perlu diakui kita kena belajar untuk hidup di dalam keadaan norma Covid-19. Tiada pilihan lain jika kita masih ingin sistem kerajaan secara demokratik dipratikkan,” katanya lagi.
Tambahnya, perkara tersebut sebenarnya bukanlah perkara baharu berikutan Suruhanjaya Pilihan Raya telah pun melakukan sistem yang sama pada pilihan raya yang lalu.
“Persoalannya adakah SPR masih tetap ingin meneruskan sistem ini semula untuk proses pengundian di tengah-tengah penularan wabak pandemik Covid-19 ini?
“Harus diingatkan bahawa terdapat negara lain yang mengadakan pilihan raya umum di tengah-tengah wabak Covid-19 tanpa kesan buruk yang mematikan.
“Apa yang penting adalah kebijaksanaan dalam menjalankan tugas kita, ”tambah Ahli Dewan Undangan Negeri Baleh itu.
sarawakvoice.com/2021/09/02
|