RAWAT: Pasukan perubatan memberikan rawatan awal kepada mangsa melalui tangkap layar video yang ditularkan sejak semalam.
KOTA KINABALU: Kejadian tular melalui satu rakaman video yang mendakwa seorang lelaki yang juga pemandu kereta pacuan empat roda terjun secara tiba-tiba di Sungai Mengkabong Tuaran adalah bercanggah dengan kejadian sebenar.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata kejadian jam 8.35 pagi kelmarin berlaku apabila seorang lelaki datang ke Sekatan Jalan Raya (SJR) berdekatan Kampus Intan memaklumkan melihat lelaki terjatuh dari Jambatan Politeknik KKIP Sepanggar kepada pegawai bertugas.
“Pasukan polis segera ke lokasi dan hasil siasatan mendapati kejadian berlaku apabila mangsa dan bapa saudaranya memancing seawal jam 7.30 pagi dari kediaman mereka di salah sebuah taman perumahan di Telipok.
“Sebaik tiba di jambatan itu, mangsa tergelincir sebelum terjatuh semasa hendak mengambil kedudukan di atas rod besi panjang bersebelahan dengan jambatan.
“Bapa saudaranya segera turun ke sungai untuk melihat keadaan mangsa dan semasa itu mereka dilihat individu yang melalui kawasan itu sebelum memaklumkan kepada pasukan polis di SJR terbabit,” katanya semasa dihubungi semalam.
Beliau berkata kejadian adalah disebabkan oleh kemalangan dan tiada sebarang unsur jenayah.
Tambahnya mangsa yang mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Queen Elizabeth (HQE) juga tidak mengalami keadaan serius dan hanya terdapat kesan koyakan pada tisu di bahagian peha dan betis.
“Orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan sebarang perkara tidak benar kerana ianya akan membawa kegusaran kepada masyarakat,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/09/01
|