BERBAHAYA: Aksi bahaya penunggang basikal yang tular di media sosial baru-baru ini.
TAWAU: Semua peminat sukan berbasikal di daerah ini diminta untuk mematuhi peraturan lalu lintas semasa di jalan raya bagi mengelak kemalangan dan perkara yang tidak diingini berlaku.
Terdahulu, tular satu video di media sosial yang memaparkan seorang penunggang basikal memegang sebuah kenderaan semasa di jalan raya yang berlaku di Batu 9 Jalan Apas, di sini.
Aksi bahaya itu mengundang kecaman orang ramai kerana penunggang basikal terbabit dilihat tidak peka soal keselamatan dan menyusahkan pengguna jalan raya lain.
Ketua Polis daerah Tawau, Asisten Komisioner, Peter Umbuas berkata sukan berbasikal adalah dibenarkan dalam prosedur operasi standard (SOP) semasa pandemik COVID-19.
“Bagaimanapun, semua peminat sukan berbasikal perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan undang-undag lalu lintas jalan raya.
“Jangan sesekali mengabaikan undang-undang lalu lintas kerana kecuaian boleh menyebabkan berlakunya kemalangan sehingga membawa maut,” katanya ketika dihubungi media, di sini hari ini.
Peter berkata, peminat sukan berbasikal dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati semasa berada di jalan raya untuk keselamatan diri dan pengguna yang lain.
“Saya berharap tidak ada lagi penunggang basikal yang akan melakukan perkara berbahaya itu lagi dan teruskan patuhi SOP serta undang-undang yang sudah ditetapkan.
“Bersukanlah untuk kesihatan diri dan jangan menyusahkan orang lain dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan sehingga mengundang kecaman orang ramai,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/09/01
|