Kebakaran di bahagian ruang tamu sebuah rumah di Kampung Sessang telah menyebabkan seorang wanita warga emas melecur.
SARATOK: Seorang wanita warga emas yang berusia 70 tahun melecur pada tahap 60 peratus apabila kediamannya terbakar di Kampung Sessang, Kabong, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Saratok, Nazry Mohamat berkata, insiden kebakaran tersebut dilaporkan berlaku sekitar jam 4.30 pagi.
"Kebakaran tersebut hanya melibatkan ruang tamu rumah mangsa yang turut didiami bersama empat ahli keluarga yang lain. Dianggarkan tahap kemusnahan kebakaran yang telah berlaku adalah sekitar 15 peratus sahaja.
"Tindakan pantas ahli keluarga rumah terbabit dengan bantuan penduduk kampung telah berjaya menyelamatkan rumah tersebut dari musnah terbakar," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Mangsa yang melecur dihantar ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan dengan menggunakan ambulans.
Menurut Nazry, pihak bomba yang tiba di lokasi kejadian pada jam 5.11 pagi telah bertindak membantu memadam sisa-sisa kebakaran dan terus memastikan tiada risiko kebakaran berlaku lagi.
"Hingga kini punca kebakaran dan jumlah kerugian yang ditanggung oleh mangsa masih lagi dalam siasatan," jelas Nazry lagi.
utusanborneo.com.my/2021/09/01
|