Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Haslina Abdul Hamid, berkata peruntukkan berjumlah RM495,000 akan digunakan bagi membaiki kerosakan infrastruktur termasuk jalan ladang, tali air konkrit, membaiki paip bekalan pengairan, mencuci dan menyenggara pam guna semula.
"Sebanyak RM555,000 pula untuk membaik pulih sawah yang membabitkan kerja mengeluarkan enapan dalam bendang, pitaran tanah sawah, perataan tanah dan pemulihan kesuburan tanah.
"Selain itu, peruntukan RM50,000 akan digunakan untuk bantuan pembatalan musim tanaman 2/2021 di bawah Skim Pengairan Lubok Boi dengan keluasan 15 hektar," katanya dalam kenyataani, hari ini.
Mengulas lanjut, Haslina berkata, MAFI dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan dan Lembaga Pertubuhan Peladang juga sedang menggerakkan segala jentera dalam usaha untuk memulih dan memperbaiki kerosakan yang berlaku termasuk sistem pengairan yang terjejas.
Katanya, laporan keseluruhan kerosakan bencana khususnya sektor tanaman lain selain padi, termasuk ternakan dan perikanan di daerah Yan dan Kuala Muda dianggarkan bernilai RM286,000.
"Nilai kerosakan ini meliputi sektor tanaman dan industri tani dengan anggaran kerosakan sebanyak RM222,000, manakala sektor lain seperti ternakan haiwan dan ikan pula membabitkan nilai kerugian sebanyak RM64,000," katannya.