KUCHING: Timbalan Ketua Menteri,Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing hari ini melakukan tinjauan udara menggunakan helikopter terbang ke hulu sungai Mengiong, anak sungai Batang Baleh bagi mengenal pasti punca longgokan sisa kayu balak hanyut di sungai berkenaan baru-baru ini.
Menurutnya, pengendali kayu yang melakukan penebangan penyelamatan atas nama salah satu syarikat konsesi Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) melakukan pengekstrakan di salah satu kawasan yang paling sukar di perairan Batang Baleh.
"Mereka berusaha mengeluarkan kayu komersil sebelum penebangan bermula pada tahun 2026.
Kawasan-kawasan di mana kegiatan pembalakan dilakukan akan berada di bawah air dalam lima tahun," katanya di sini hari ini.
Katanya,para pengusaha berusaha sedaya upaya untuk mengeluarkan kayu komersial sebelum 2026 dengan hasil sekitar RM 300 juta.
"Hujan lebat di Baleh minggu lalu tidak membantu mengurangkan hakisan. Oleh itu, ini bermaksud bahawa serpihan kayu tidak ada hubungannya dengan penanaman dan juga dengan pembinaan Empangan Hidroelektrik Baleh bukan punca longgokan sisa kayu balak itu,"ujarnya.
Beliau berkata, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah membentuk jawatankuasa untuk mencari jalan dan cara untuk mengeluarkan kayu tanpa menyebabkan kesan buruk terhadap alam sekitar.
"Oleh itu, saya mencadangkan agar badan itu tidak boleh diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Sarawak sahaja.
"Hakim, juri dan pendakwa tidak boleh orang yang sama. Pihak ketiga mesti dilibatkan kerana jika pihak Perhutanan sahaja tidak akan berjaya,"jelasnya.