[size=0.8][size=0.9]Zuhainy Zulkiffli
[email protected]
Orang ramai tampil ke program derma darah di Dewan Sri Pinang selepas tular ia tidak mendapat sambutan meskipun pada hari kedua program berkenaan dijalankan. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Georgetown: "Mulanya, kami hanya terima satu pek darah sahaja bagi program derma darah hari ini, tetapi tidak sangka selepas setengah jam ia tular di media sosial, ramai yang datang menderma (darah)," kata Pegawai Perhubungan Tabung Darah Hospital Pulau Pinang (HPP) Mohamad Al Hakim Al Balkhis.
Mohamad Al Hakim memberi reaksi itu susulan tular program derma darah yang diadakan di Dewan Sri Pinang, di sini, tidak mendapat sambutan sebelum ia menerima maklum balas positif warganet.
Beliau berkata, program derma darah berkenaan dijalankan selama dua hari sejak semalam, bermula 9 pagi hingga 4 petang.
Namun, katanya, pihaknya hanya berjaya mengumpul 12 pek darah individu yang layak menderma bagi program yang dijalankan pada hari pertama.
"Selepas dua jam kempen ini berlangsung pada hari kedua, hanya ada satu pek darah diterima daripada penderma dan kami ambil keputusan untuk tularkan di media sosial sebagai hebahan.
"Syukur selepas setengah jam ia tular, ramai yang tampil dan sehingga 4 petang tadi, kami sudah berjaya mengumpul sebanyak 70 pek darah daripada penderma layak iaitu melepasi sasaran sebanyak 30 pek sehari," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Al Hakim berkata, pihaknya mengakui bahawa program berkenaan kurang mendapat sambutan berikutan kurang promosi di media sosial.
Malah, katanya, kekangan akibat pandemik Covid-19 termasuk prosedur operasi standard (SOP) perjalanan juga menyebabkan orang ramai sukar ke Tabung Darah atau hospital berhampiran bagi menderma darah.
"Kesedaran orang ramai bagi menderma darah itu ada tetapi ada beberapa faktor yang menyebabkan mereka tidak dapat datang.
"Dalam tempoh sebulan, sebanyak 2,000 pek darah digunakan bagi merawat pesakit pelbagai kes di hospital negeri ini dan kita alami kekurangan stok sejak Perintah Kawalan Pergerakan lalu.
"Justeru, orang ramai diseru supaya menderma darah di pusat kesihatan atau hospital berhampiran bagi membantu pesakit yang memerlukan serta mengatasi kekurangan bekalan darah di Tabung Darah," katanya.
Sementara itu, pasangan suami isteri, G Gejhananan, 30, dan S Shanmugapriayah, 30, dari Bayan Baru turut tampil menderma darah selepas mengetahui hebahan tular itu.
Gejhananan berkata, dia sudah enam kali menderma darah manakala isterinya pula baharu pertama kali.
Katanya, kali terakhir dia menderma pada tahun lalu dan bimbang hendak menderma darah di hospital berikutan peningkatan kes Covid-19 tambahan pula sekatan perjalanan dari rumah ke hospital.
"Biasanya saya menderma darah bersama bapa mentua namun dia tidak dapat hadir, jadi isteri mahu turut serta kali ini.
"Kami berdua bekerja sebagai jurutera teknologi maklumat secara bekerja dari rumah dan sudah maklumkan kepada pihak syarikat bagi memberi kelonggaran menderma darah ketika waktu bekerja," katanya.