30,000 keluarga terima sumbangan menerusi Op Bantu
- Oleh AZAHAR HASHIM
- 26 Ogos 2021, 4:20 pm
Acryl Sani (empat dari kanan) menziarahi rumah Siti Asa dalam program Op Bantu di Kampung Sidam Kanan, hari ini.
KULIM – Seramai 30,000 keluarga telah menerima manfaat sumbangan daripada program Op Bantu yang dilancarkan sejak Julai lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, bantuan tersebut diberikan mengikut keperluan penerima dari seluruh negara.
“Sebenarnya kita tidak mempunyai sasaran berapa jumlah penerima yang mana program ini akan dilakukan secara berterusan.
“Kita pada masa sama berharap ada pihak yang sudi membantu kami melaksanakan program ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan dalam program Op Bantu di Kampung Sidam Kanan di sini hari ini.
Jelas beliau, idea asal program tersebut adalah polis sebagai pemudah cara untuk mengenal pasti golongan yang memerlukan melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), balai dan pondok-pondok polis yang lebih dekat dengan masyarakat.
“Bantuan ini diberikan kepada golongan memerlukan termasuk bekas polis,” ujarnya. – K! ONLINE
|