[size=0.8]Oleh Noorazura Abdul Rahman - Ogos 26, 2021 @ 3:49pm[email protected]
Penduduk setempat membantu membersihkan kedai di pekan Yan yang terjejas akibat bencana kepala air di kawasan air terjun berhampiran Gunung Jerai. - NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
ALOR SETAR: Kerugian susulan insiden kepala air Gunung Jerai melanda daerah Yan dan Kuala Muda minggu lalu dianggar mencecah RM75 juta.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata ia berdasarkan taksiran awal pihak berkaitan setakat ini.
"Sebanyak 1,732 rumah terkesan dengan kejadian yang disifatkan terburuk dalam sejarah, selain 124 premis perniagaan dan 14 pengusaha calet pelancongan desa turut terjejas.
"Angka kerugian mencecah RM75 juta dan itu hanya bersandarkan taksiran awal.
"Justeru, kerajaan negeri amat berterima kasih dan menghargai peruntukan RM78 juta yang diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Perdana Menteri dalam lawatan kerja ke kawasan bencana di Yan Isnin lalu, mengumumkan peruntukan berjumlah RM78 juta bagi membaik pulih kerosakan infrastruktur yang berlaku dan membaik pulih rumah terjejas serta bantuan lain.
Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri sudah menggerakkan pelbagai agensi termasuk kakitangan dan jentera pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membantu membaik pulih dan membersihkan kawasan terjejas.
Katanya, kerja membanci kerosakan premis dan infrastruktur sedang dijalankan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.
"Proses itu agak rumit dan mengambil masa, namun kita akan menyegerakan segala bentuk bantuan selepas proses taksiran selesai.
"Sebaik mendapat kepastian, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menyerahkan wang seperti dijanjikan.
"Kita akan cuba melakukannya secepat mungkin dengan semua pihak sedang bekerja keras ke arah itu," katanya.
Beliau turut mengingatkan setiap sukarelawan yang membantu di kawasan terjejas supaya tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"Maklumkan kepada mereka supaya berhati-hati. Individu yang belum mendapatkan vaksinasi lengkap tidak dibenarkan hadir sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan semua termasuk penduduk setempat," katanya.