[size=0.8]M Hifzuddin Ikhsan - Ogos 23, 2021 @ 8:20am[email protected]
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.
YAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadualkan melakukan lawatan kerja rasmi pertamanya ke Kedah hari ini bagi meninjau dan melawat mangsa tragedi kepala air serta banjir lumpur yang berlaku di sini.
Ismail Sabri ini, dijadual meninjau Jambatan Tupah, Merbok, yang mengalami kerosakan selepas dihentam pokok balak hanyut dalam kejadian Rabu lalu, sebelum melawat penduduk yang terjejas akibat banjir lumpur di Taman Lembah Merbok.
Beliau kemudian akan melawat Loji Rawatan Air (LRA) Tupah yang terletak di kaki Gunung Jerai dan kemudian meneruskan lawatannya ke Yan pada jam 11.30 pagi.
Di daerah ini, Ismail yang mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kelmarin, akan melawat Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Titi Hanyun serta menerima taklimat berkaitan operasi yang sedang dilakukan pasukan penyelamat.
Beliau dijadual menerima taklimat berkaitan kejadian daripada Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Polis negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat.
Selepas itu, Perdana Menteri akan melawat kawasan yang terjejas akibat banjir lumpur terutama di Kampung Setol sebelum menyampaikan bantuan kepada mangsa di Masjid Jame' Badlishah.
Pada sebelah petang, Ismail dijadual mengadakan pertemuan bersama Muhammad Sanusi di Seri Mentaloon, Alor Setar sebelum berangkat pulang ke ibu negara menggunakan pesawat khas.
Penduduk melihat kemusnahan di Salak Denai akibat banjir disebabkan fenomena kepala air di kawasan air terjun berhampiran Gunung Jerai. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Setakat ini, lima mangsa disahkan menjadi korban dengan seorang lagi masih hilang dalam kejadian banjir ekoran fenomena kepala air dari Gunung Jerai, pada petang 18 Ogos.
Banjir itu turut menjejaskan kira-kira 800 rumah di Yan dan 200 di daerah Kuala Muda.