YAN: Lebih 20 rumah penduduk di lima kampung sekitar Gurun dan Merbok, dilanda banjir kilat kesan fenomena kepala air yang bermula di Gunung Jerai petang tadi.
Dalam kejadian jam 5.30 petang, lima kampung terbabit ialah Kampung Baru, Kampung Sungai Badak dan Kampung Sungai Kunyit Atas di Gurun, manakala Kampung Tandop Batu dan Kampung Sungai Batu di Merbok.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda, Kapten Azahar Ahmad berkata, setakat ini dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di dua mukim berkenaan untuk keselamatan penduduk.
Jalan sekitar Gurun dan Guar Chempedak terpaksa ditutup akibat banjir kilat yang melanda susulan fenomena kepala air Gunung Jerai petang tadi. - Foto APM
Beliau berkata, setakat jam 8 malam tadi, 27 mangsa dari tujuh keluarga terjejas akibat banjir kilat dan terpaksa dipindahkan ke PPS.
"Hujan lebat dan aliran sungai menyebabkan banjir kilat setinggi 1.5 meter melanda kawasan kampung, namun ketika ini paras banjir semakin menurun dengan hujan masih renyai.
"Anggota APM masih melakukan pemantauan di kawasan kampung berkenaan untuk memastikan penduduk dalam keadaan selamat," katanya dalam kenyataan malam ini.
Azhar berkata, hujan lebat lebih satu jam turut menyebabkan aliran Sungai Merbok dan sekitar Tadahan Air Tupah, Gunung Jerai melimpah ke kawasan berhampiran.
Sementara itu, tinjauan mendapati jalan raya di sekitar Jerai dan Guar Chempedak turut dinaiki air akibat limpahan sungai serta terpaksa ditutup kepada lalu lintas.