Padah tunjuk senapang, warga emas ditangkap polis
Suspek (tiga kanan) berjaya ditangkap polis di sebuah rumah selepas kejadian cemas berlaku di klinik kesihatan terbabit.
MIRI: Perbuatan seorang warga emas menunjukkan objek menyerupai senapang ke arah pengawal keselamatan di Klinik Kesihatan Tudan di sini pada Khamis lalu membawa padah, apabila suspek diberkas polis pada hari yang sama.
Suspek berusia 61 tahun itu berjaya ditangkap sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri di sebuah rumah di RPR Batu 6, Jalan Pujut-Lutong di sini kira-kira jam 6 petang selepas menerima laporan polis dibuat pengawal keselamatan tersebut.
Menurut sumber, pada hari kejadian suspek dikatakan tidak berpuas hati setelah ditegur pengadu kerana meletakkan kereta di tempat tidak sepatutnya iaitu di hadapan bangunan klinik tersebut.
"Suspek ke klinik berkenaan kira-kira jam 2 petang untuk menghantar isterinya bagi mendapatkan rawatan kesihatan, namun kemudiannya telah ditegur pengawal keselamatan bertugas kerana meletakkan kereta di tempat yang tidak sepatutnya.
"Kemudiannya, suspek mengajak pengawal keselamatan itu bertumbuk tetapi pengadu tidak melayani permintaan tersebut dan kemudian berlakunya pertengkaran mulut antara mereka berdua," jelasnya.
Katanya lagi, selepas kejadian pertengkaran mulut itu, suspek terbabit beredar dari lokasi kejadian.
"Namun, sekitar jam 3 petang, suspek tiba-tiba datang semula ke pondok pengawal keselamatan klinik itu dan menghampiri mangsa dengan membawa satu objek menyerupai senapang lalu berkata dalam bahasa Iban 'bersepai palak nuan legik' atau berkecai kepala kau nanti dan kemudian beredar dari situ.
"Mangsa yang bimbang akan keselamatan dirinya berikutan kejadian itu kemudian terus membuat laporan polis," ujarnya.
Dalam tangkapan suspek terbabit, polis turut merampas selaras senapang semi-auto milik suspek.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan tangkapan suspek terbabit.
Menurutnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
utusanborneo.com.my/2021/08/07
|