Amuk, ugut bunuh bapa apabila telefon bimbit tidak berfungsi, lelaki didenda
KUCHING: Seorang lelaki didenda RM3,000 oleh Majistret di sini, hari ini akibat mengugut bunuh bapa kandungnya ketika mengamuk kerana telefon bimbit miliknya tidak berfungsi.
Majistret Zaiton Anuar juga memerintahkan tertuduh, Nurquwazzi Abu Bakar, 34, untuk dipenjara tujuh bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.
Tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.
Sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut hendak membunuh bapanya yang berusia 70 tahun dalam satu kejadian pada 1 Ogos lalu, jam lebih kurang 9 pagi di kediaman mereka di Kampung Tabuan Hilir.
Berdasarkan keterangan kes, tertuduh secara tiba-tiba mengamuk dan mengacukan sebilah pisau pemotong terhadap mangsa.
Tertuduh juga mengeluarkan kata ugutan hendak membunuh mangsa dan semua orang. Punca kejadian adalah tertuduh berang apabila telefon bimbitnya tidak berfungsi. Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis dan tertuduh kemudiannya ditangkap pada hari sama, jam 9.30 malam.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Utusan borneo/2021/08/06
|