|
Tidak mahu selesa dengan apa yang dimiliki sepanjang karier seni, penyanyi Alif Satar kini memilih untuk bergerak dalam kumpulan yang dikenali sebagai Alif Satar & The Locos (ASTL).
Berpeluang bekerjasama, pemain Saksofan ASTL iaitu Faliq Auri menyifatkan Alif sebagai seorang penyanyi yang memang dilahirkan dengan bakat besar.
Foto: IG
"Satu perkara yang menarik bekerja dengan Alif adalah setiap nota lagu yang dinyanyikan tepat. Saya dilahirkan dengan bakat yang boleh mengesan nota lagu.
"Jadi, setiap kali nak buat proses rakaman atau menjayakan persembahan dengan Alif, dia tidak pernah nyanyi salah.Dalam masa sama, dia seorang ketua yang bagus dalam band.
"Dia juga penasihat yang baik di mana selalu bagi kata-kata semangat kepada kami semua. Pendek kata, bekerja dengan dia adalah anugerah terindah dalam hidup saya," katanya kepada mStar.
Kumpulan yang sudah diwujudkan sejak lima tahun lalu itu dianggotai oleh Alif selaku vokalis, Tam Cobain (gitar), Efry Arwis (bass), Faliq Auri (saksofon) dan Rajwan Juni (dram).
Mereka tampil dengan lagu terbaharu berjudul Anugerah Terindah yang merupakan hasil ciptaan Alif sendiri bersama Romeo, Tam Cobain dan Efry Arwais. Manakala lirik pula oleh Alif, Shah Shamsiri dan Romeo.
Dalam pada itu, Tam Cobain selaku pemain Gitar ASTL mengakui pengalaman dimiliki Alif dalam bidang nyanyian memudahkan banyak perkara.
"Alif ini sangat mudah, mungkin disebabkan pengalaman yang dia ada. Dalam setiap kerja, dia memang sangat teliti, tapi tidak sampai tahap cerewet. Ini kerana dia masih boleh terima pandangan orang lain.
"Setiap kali buat persembahan, dia memang nak kami semua sama bertenaga macam dia. Kalau bahasa kasarnya, dia tak nak ada yang malas.
"Dia selalu pesan, persembahan kita kena memberi kesan pada penonton. Jadi, Alif bagi kami aura itu, kami pun dalam buat persembahan dengan mantap," ujarnya. -CARI
Sumber: mStar Online
|
|