|
'Kismah tak pernah pegang watak heroin'
Kismah bergelar pelakon pada usia 32 tahun, namun masih bertahan sehingga lebih dua dekad.
KUALA LUMPUR: Perjalanan bintang veteran, Kismah Johar, 69, dalam dunia lakonan bermula pada usia lewat, namun tidak pernah menyesali keputusannya meninggalkan kerjaya tetap yang lebih menjamin masa depan.
Barangkali, ramai tidak tahu, Kismah adalah penjawat awam sebelum menyertai dunia lakonan pada 1997.
Kismah nekad meninggalkan kerjaya sebagai pembantu tadbir disebabkan minat mendalam yang tersemat sejak di bangku sekolah rendah.
"Saya bergelar pelakon pada usia 32 tahun. Saya cuba nasib sebagai pelakon bukan mengejar glamor, sebaliknya ingin berkarya.
"Saya sudah terbabit dengan pelbagai persembahan dan pernah menghasilkan skrip berkisar dayang istana yang agak popular di sekolah.
"Saya menyertai persembahan pentas bersama kumpulan belia selepas tamat sekolah. Bagaimanapun, saya terjebak semula dalam dunia lakonan apabila seorang rakan memberitahu mengenai uji bakat sebuah syarikat penerbitan.
"Tidak sangka, saya berjaya dalam uji bakat dan ditawarkan watak," katanya kepada BH Online.
Kismah yang juga Presiden Yayasan Artis Veteran Malaysia itu berkata, mulanya, dia hanya diberikan watak pembantu seperti jiran, kakak dan ibu.
Namun, katanya, dia tidak kisah, asalkan cita-citanya bergelar pelakon tercapai.
"Saya akui, tidak pernah merasa membawa watak heroin memandangkan memulakan kerjaya lakonan pada usia agak lewat. Bermula watak tambahan, namun lama kelamaan saya mula mendapat kepercayaan membawakan watak penting.
"Akhirnya, saya membuat keputusan nekad berhenti kerja sebagai penjawat awam kerana enggan menyusahkan majikan dan rakan sekerja.
"Saya ditawarkan kenaikan pangkat, tetapi saya menolaknya kerana hati lebih tertarik kepada dunia seni. Majikan tidak kisah saya meneruskan minat dalam lakonan, tetapi saya bimbang tidak mampu memberikan komitmen.
"Saya boleh berlakon pada hujung minggu atau mohon cuti, tetapi saya mahu mengelak menyusahkan orang lain. Lagipun, saya tidak percaya dengan istilah 'one man riding two horses'," katanya.
Kismah bersama ahli Yayasan Artis Veteran Malaysia.
Wanita kelahiran Gunung Rapat, Ipoh, Perak itu berkata, suaminya berkali-kali mengingatkannya menjaga nama baik kerana masih bergelar kakitangan kerajaan.
"Bagaimanapun, saya bersyukur suami tidak menghalang apabila saya membuat keputusan memilih bidang lakonan," katanya.
Pelakon drama Semerah Cinta Humairah dan Kampung People itu berkata, tiada sekelumit pun timbul kekesalan di hatinya biarpun sudah lebih 23 tahun meninggalkan kerjaya tetap.
Biarpun jarang diberikan peluang watak utama, namun nama Kismah mula meniti di bibir peminat menerusi watak Mak Jah dalam drama popular, Keluarga Iskandar.
Kismah bersyukur rezeki sentiasa mengalir dalam dunia lakonan. Malah, 1997 adalah zaman kegemilangan untuk kebanyakan pelakon drama pada era itu.
Waktu itu, katanya, kebanyakan pelakon tidak menang tangan menerima tawaran sehingga terlupa bayaran yang belum habis dibayar oleh penerbit.
"Saya tidak pernah menyesal keputusan meninggalkan kerjaya sebagai penjawat awam. Apa yang lebih penting, saya dapat menggapai cita-cita untuk beraksi di kaca televisyen dan layar perak.
"Alhamdulillah, saya berpuas hati dapat mengetengahkan bakat dalam lakonan. Diakui, saya tidak banyak tawaran ketika mula melangkah sebagai pelakon.
"Namun, rezeki mula mencurah-curah pada 1997. Saya tidak menang tangan menerima tawaran lakonan. Bayangkan, bayaran untuk kerja pertama masih ada, malah penggambaran belum habis, namun sudah menerima tawaran baharu dan dibayar deposit.
"Oleh kerana terlalu meriah tawaran lakonan, ada masanya saya terlupa upah untuk tawaran pertama masih belum habis dibayar hingga diingatkan pihak produksi.
"Ketika itu bukan soal tamak, tetapi disebabkan minat mendalam dalam lakonan hingga abaikan rasa penat," katanya yang sudah membintangi lebih 500 drama dan filem.
Kismah berkata, dia tetap mahu berlakon pada usia 69 tahun. Darah seni yang mengalir menyebabkannya tidak betah duduk diam di rumah tanpa melakukan kerja.
Katanya, biarpun tawaran diterima tidak selebat dahulu, namun bersyukur masih ada penerbit sudi memanggilnya.
Menyandang jawatan Presiden Yayasan Artis Veteran Malaysia tidak sesekali membuatkan Kismah mengetepikan kerjaya lakonan yang diminati sejak di bangku sekolah.
Namun, Kismah tidak menafikan, berdepan pengalaman menerima bayaran tidak setimpal.
"Saya akur watak yang ditawarkan semakin terhad apabila usia meningkat. Kadang kala, tarikh sudah ditetapkan, malah saya sudah bersiap dengan beg pakaian, tetapi tidak jadi ambil saya berlakon pada saat akhir.
"Sedangkan, saya sudah menolak tawaran lain, namun saya anggap sebagai tiada rezeki. Bagaimanapun, saya bersyukur masih ada penerbit masih sudi memanggil saya.
"Ada sesetengah penerbit buat saya terharu dengan sikap prihatin. Ada yang membayar saya lebih daripada sepatutnya kerana niat bersedekah.
"Mereka tahu apabila berbuat demikian, rezeki makin bertambah kerana pelakon veteran akan mendoakan mereka," katanya.
Kismah berkata, ada rakan seangkatannya terkejut dengan jumlah diberikan penerbit.
"Jika pelakon veteran kurang sihat, penerbit menghulurkan bayaran lebih termasuk kos perubatan.
"Namun, ada juga yang menawarkan bayaran rendah mungkin kerana sudah tiada bajet, namun biarlah berpada-pada," katanya yang menitipkan pesan kepada golongan pelapis baharu jangan bersikap 'demand' ketika mula melangkah dalam bidang lakonan.
Kismah bergelar nenek kepada tujuh cucu menerusi dua cahaya mata berusia 44 tahun dan 42 tahun.
Pernah membintangi filem Sate, Gila-Gila Pengantin, Remp-It, Janin, Sembunyi: Amukan Azazil, Berani Jadi Papa dan Keluarga Iskandar The Movie.
Sumber:https://www.bharian.com.my
|
|