|
Tiga asas bentuk Kuching jadi bandaraya pintar-Datuk Patinggi Abang Johari
KUCHING, 1 Ogos: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menekankan tiga perkara yang menjadi asas untuk mewujudkan suasana yang baik dan perkhidmatan yang berkualiti ke arah menjadikan Kuching sebagai bandaraya pintar.
Berucap di Majlis Memperingati Hari Bandaraya Kuching Ke-33 di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, beliau berkata perkara pertama adalah penyediaan perkhidmatan yang berkualiti dan terbaik kepada rakyat seperti menggunakan perkhidmatan "Devices" dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.
Jelasnya, di peringkat negeri, kerajaan Sarawak telah menubuhkan ‘Command Center’ di mana semua maklumat dikumpul di dalam satu ‘storage’ yang berpusat di Bangunan Baitulmakmur 2, Petra Jaya, Kuching.
Selain itu, perkara kedua adalah kemampanan dalam mengekalkan kehijauan seperti mewujudkan suasana kehijauan, kawasan-kawasan riadah, menanam pokok-pokok dan sebagainya.
Ujarnya, beliau telah meluluskan satu kawasan di bawah bidang kuasa DBKU untuk dijadikan sebagai rizab alam semula jadi yang akan ditanam dengan pokok-pokok serta menjadi kawasan riadah sekali gus memberikan suasana kehijauan di bandaraya Kuching.
Datuk Patinggi Abang Johari menambah pembangunan perumahan yang terancang dan tersusun perlu dilakukan ke arah mewujudkan suasana yang menarik.
Beliau dalam pada itu berharap, Kuching akan terus maju dan menjadi bandaraya terkemuka di Malaysia selaras dengan hasrat untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030.
|
|