Kuala Lumpur: Pasukan PJ City FC enggan memandang remeh 'ancaman' Sri Pahang FC yang dilihat tampil lebih meyakinkan dalam dua perlawanan terdahulu. Pengendali PJ City, P Maniam berkata, walaupun pasukannya mempunyai waktu rehat yang agak panjang namun itu bukan satu kelebihan untuk berdepan Sri Pahang FC, malam esok. Sebaliknya Maniam menyifatkan skuad bimbingan Dollah Salleh itu yang sebenarnya memiliki kelebihan memandangkan sudah beraksi dalam dua perlawanan selepas liga bersambung berbanding PJ City yang hanya bermain satu perlawanan setakat ini. Tambah Maniam, dengan deretan kualiti pemain yang dimiliki skuad Tok Gajah, anak buahnya perlu bekerja lebih keras untuk berdepan cabaran pasukan lawan. "Mereka ada momentum kerana sudah bermain dua perlawanan, mungkin mereka penat sedikit tetapi jurulatih mereka berpengalaman dan pasti tahu apa yang perlu dilakukan. "Mereka pun ada pemain yang baik seperti Kenjok Wal Athiu, Abdul Malik Mat Ariff dan Aung Kaung Mann. Tetapi saya percaya pada barisan pemain saya. "Ada pemain yang cedera namun saya optimis mereka boleh diturunkan. Jika tidak boleh pun, kita ada pengganti," katanya. Pada masa sama, Maniam mengharapkan anak buahnya dapat memperagakan aksi lebih baik berbanding bertemu Sabah FC sekalipun berjaya meraih kemenangan pada aksi terbabit. "Kita kena bermain dengan penguasaan bola dan mencipta banyak peluang untuk mendapatkan gol," katanya. Skuad Phoenix yang dibarisi sepenuhnya anak tempatan menghuni tangga ketujuh selepas 13 perlawanan apabila mengumpul 18 mata. sumber : HMetro
|