PETALING JAYA – Orang ramai meluahkan rasa kesal susulan tular sebuah rakaman seorang lelaki dipercayai seorang ‘influencer’ bertindak memalukan seorang gelandangan warga emas di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur baru-baru ini.
Difahamkan individu tersebut hadir bersama beberapa orang pekerjanya ke pusat transit berkenaan bagi memberi bantuan dan dipercayai mengambil kesempatan itu untuk memberi para gelandangan di situ sedikit ‘motivasi’.
Menerusi video berdurasi 50 saat itu, tindakan lelaki tersebut mempersoalkan adakah warga emas itu menyesal kerana tidak berusaha sewaktu muda sehingga dia menjadi gelandangan disifatkan sebagai biadab dan menjatuhkan air muka warga emas terbabit.
Tinjauan Kosmo! di ruang komen mendapati, orang ramai juga marah dengan kenyataan lelaki tersebut yang mengatakan dirinya dihantar ke situ oleh tuhan untuk menyelamatkan gelandangan-gelandangan berkenaan.
“Boleh beri motivasi kepada orang lain, tapi lakukan dengan cara yang betul. Terkejut bagaimana dia boleh terlibat dengan perniagaan sedangkan dia tidak ada sikap empati. Perkara ini sangat mengecewakan dan tidak boleh diterima. Harap pak cik itu kekal tabah,” kata @acapsopi.
“Tuhan tak hantar kamu ke situ untuk tolong mereka, sebaliknya tuhan hantar kamu untuk tunjuk kepada mereka biarlah hidup sederhana, asalkan tidak menjatuhkan martabat seseorang,” kata @Fzuhairah.
“Ya Allah tergamaknya tanya soalan macam tu. Saya anggap pak cik itu macam ayah saya sebab sebaya. Hancur hati tengok dia diperlakukan seperti itu. Ini bukan cara untuk memberi motivasi,” luah @yasay.
Selain daripada itu, beberapa pengguna Twitter juga dilihat meninggalkan komen mahu lelaki itu dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka semasa berada di pusat transit tersebut.
Sehingga kini, rakaman video itu telah diulang ciap lebih 9,000 kali dan hasil tinjauan Kosmo! di laman sosial Instagram milik lelaki berkenaan turut mendapati akaun itu telah ditetapkan dalam mod peribadi manakala tiada kenyataan balas dibuat di laman Twitternya. – K! ONLINE