Seremban: Perselisihan faham dikenal pasti menjadi punca seorang lelaki warga Bangladesh bertindak membunuh rakan sekerjanya sebelum menanam mangsa di tempat tinggal mereka di tapak pembinaan sebuah rumah banglo, di Taman Mutiara Galla, di sini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, kejadian membabitkan mangsa berusia 30 tahun itu berlaku pada 13 Julai lalu.
Katanya, majikan mereka mengesyaki sesuatu berlaku kepada mangsa yang sudah lama tidak kelihatan sebelum membuat soal siasat.
"Polis menerima laporan daripada majikan mereka mengenai kejadian ini pada 6.30 petang semalam.
"Ketiadaan mangsa lelaki yang juga warga Bangladesh di tempat kerja dalam tempoh beberapa hari menimbulkan tanda tanda majikannya yang kemudian membuat soal siasat dan bertanya lebih lanjut kepada suspek.
"Suspek berusia 29 tahun yang tinggal bersama mangsa cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan majikannya yang kemudian membuat laporan polis," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. .
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, suspek mengaku membunuh mangsa sebelum menanamnya di tempat tinggal mereka iaitu di rumah kongsi di tapak pembinaan berkenaan.
Menurutnya, perselisihan faham dipercayai menjadi punca pergaduhan antara suspek dan mangsa yang tinggal bersama, sejak sebulan lalu.
"Mereka dikatakan bergaduh dan suspek memukul mangsa menggunakan kayu sebelum menanam mayatnya di kawasan tempat tinggal mereka.
"Suspek turut menunjukkan kayu yang digunakan untuk memukul mangsa. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.
Mohd Said berkata, pihaknya menganggap bahawa kes berkenaan selesai dan mayat mangsa dijumpai serta dihantar ke Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban untuk tindakan lanjut.
"Suspek kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.