CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1021|Reply: 0

[Sarawak] Tarikh Yang Tidak Didendangkan

[Copy link]
Post time 20-7-2021 12:48 AM | Show all posts |Read mode
Edited by Vellfire at 19-7-2021 04:50 PM

Tarikh Yang Tidak Didendangkan

DR. SUFFIAN MANSOR


DALAM bulan ini terdapat satu lagi tarikh penting bagi negeri dan negara kita, iaitu 9 Julai 1963. Apa pentingnya tarikh tersebut kepada kita? Adakah ia mempunyai signifikan tersendiri dalam sejarah Sarawak? Jawapannya adalah ya. Malah ia adalah tarikh bersejarah dalam kalendar sejarah negara kita.

Kedaulatan Sarawak
Kita biasa mengimbau tarikh-tarikh seperti 31 Ogos 1957 sebagai Hari Kebangsaan dan Hari Merdeka bagi Tanah Melayu yang disambut juga oleh kita di Sarawak. Manakala 16 September 1963 pula diraikan sebagai Hari Malaysia. Pada hari ini, kedaulatan Sarawak dikembalikan kepada rakyatnya. Di Sarawak, satu lagi tarikh istimewa untuk orang Sarawak adalah 22 Julai 1963, iaitu Hari Sarawak. Pada tarikh itu, kita mengenang hari ketika mana Sarawak mendapat hak pentadbiran sendiri. Ketiga-tiga hari tersebut diwartakan sebagai hari kelepasan am untuk Sarawak. Apa pula pentingnya 9 Julai? Tarikh ini tidak tergolong sebagai hari cuti. Apa sebenarnya makna di sebalik tarikh tersebut? Kepentingan tarikh tersebut adalah ia merupakan tarikh Perjanjian Malaysia ditandatangani. Peristiwa Perjanjian Malaysia yang ditandatangani telah berlangsung 58 tahun yang lalu.

Ke arah kemerdekaan bersama
Detik itu merupakan salah satu proses membawa Sarawak ke arah kemerdekaan bersama-sama Sabah dan Singapura.  Kita hari ini hanya tahu tentang Perjanjian Malaysia yang biasa kita singkatkan sebagai MA 63. MA 63 ini menjadi satu dokumen penting dalam pewujudan Malaysia. MA 63 ini menjadi satu daripada isu yang diperjuangkan oleh pelbagai pihak di Sarawak dan Sabah, terutama menjelang pilihan raya.  Hal ini dikatakan demikian kerana timbul rasa kurang senang segelintir pemimpin di kedua-dua buah negeri akan terhakisnya beberapa perkara dalam perjanjian ini. Isu ini tidak akan saya sentuh secara mendalam kerana hal yang sedemikian perlu satu perbincangan lebih jitu dan rasional untuk melihat isu ini dalam senario hari ini.

Tarikh ditunda
   Berbalik kita ke tarikh 9 Julai 1963, dan bagaimana ia memberi makna kepada sejarah negara kita.  Setiausaha Rendah Tetap Kommonwel, Sir Saville Garner pernah menyatakan bahawa mereka mensasarkan 27 Jun 1963 sebagai tarikh menandatangi perjanjian itu.  Beliau menyatakan bahawa beberapa perkara perlu diselesaikan, termasuklah kewangan.  Beliau menambah isu kewangan merupakan isu penting kerana isu ini satu isu yang utama dalam sesebuah persekutuan seperti di Australia dan Kanada. Hal ini diakui oleh Tunku Abdul Rahman bahawa sepatutnya perjanjian itu ditandatangani pada 27 Jun 1963 tetapi telah terlambat. Kenyataan Tunku Abdul Rahman ini menunjukkan bahawa beberapa isu belum lagi selesai untuk perjanjian itu ditandatangani pada 27 Jun 1963. Antara isu yang belum dapat diselesaikan termasuklah isu kewangan dengan Singapura.  Tambahan daripada itu, isu berkenaan dengan kedudukan Sultan Brunei dan soal hasil minyak bagi Brunei juga melambatkan proses menandatangani perjanjian tersebut. Atas sebab-sebab ini, maka tarikh menandatangani perjanjian ini ditunda ke tarikh yang lain.

8 Julai 1963
Sementara itu, isu-isu mengenai Sarawak dan Sabah telah dapat diselesaikan lebih awal.  Oleh sebab itu, perwakilan kedua-dua negeri ini hanya menunggu keputusan rundingan Tanah Melayu, Great Britain, Singapura dan Brunei. Salah seorang wakil Sarawak, iaitu Datu Bandar Abang Mustapha membayangkan kemungkinan perjanjian antara Sarawak, Sabah dan Tanah Melayu akan ditandatangani lebih awal, iaitu pada 8 Julai 1963.  Namun demikian, perjanjian itu masih menunggu hasil perbincangan dengan Tanah Melayu, Great Britain, Singapura dan Brunei untuk ditandatangani sekali.

Keengganan Brunei
Akhirnya, beberapa isu dinyatakan tadi berjaya diselesaikan, dan perjanjian itu ditandatangani pada 9 Julai 1963. Harapan untuk memasuki Brunei dalam persekutuan baharu itu pula gagal. Oleh sebab itu, dokumen perjanjian itu hanya ditandatangani oleh Persekutan Tanah Melayu, Great Britain, Sarawak, Sabah dan Singapura di Malborough House, London.  Wakil-wakil yang mendatangani perjanjian ini dari Tanah Melayu ialah Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussain, Tan Siew Sin, V. T. Sambanthan, Omar Yoke Lin dan Dr. Lim Swee Aun.  Manakala pihak British pula diwakili oleh Harold MacMillan, Duncan Sandys dan Landsdowne.  Pemimpin Sarawak yang menandatangani perjanjian ini terdiri daripada Temenggung Jugah anak Barieng, Dato Bandar Abang Mustapha, Ling Beng Siew dan Abang Haji Openg serta Peguam Negeri Sarawak, iaitu P. E. H. Pike.  Sabah pula diwakili oleh Datu Mustapha Datu Harun, Donald A. Stephens, W. K. H. Jones, Khoo Siak Choo, W. S. Holley dan G. S. Sundang.  Wakil-wakil Singapura pula ialah Lee Kuan Yew dan Goh Keng Swee.

Pemimpin berwibawa Sarawak
Pemimpin Sarawak yang dipilih menandatangani merupakan pemimpin berwibawa dan berpengaruh di Sarawak.  Temenggong Jugah ialah pemimpin Iban tradisional yang dihormati bukan sahaja oleh kaumnya, tetapi pemerintah British.  Beliau juga ialah Presiden Parti Pesaka Anak Sarawak.  Dato Bandar Abang Haji Mustapha pula merupakan pemimpin berpengaruh dalam kalangan penduduk Sarawak, khususnya di Bahagian Pertama Sarawak.  Dato Bandar Abang Mustapha juga ialah presiden bagi Parti Negara Sarawak (PANAS).  Beliau dipandang tinggi oleh pemerintah British kerana jasanya yang besar  membantu pembangunan pentadbiran Sarawak.  Ling Beng Siew pula nama yang agak kurang dikenali tetapi beliau merupakan peniaga yang berjaya dan berpengaruh di Sibu.  Beliau juga ialah Presiden bagi Sarawak Chinese Association (SCA).  Abang Openg pula salah seorang pemimpin Melayu Kuching yang berpengaruh, dan amat berpengalaman dalam urusan pentadbiran Sarawak serta penyokong Malaysia.  P. E. H. Pike, seperti dinyatakan awal tadi ialah peguam bagi Kerajaan Negeri Sarawak.

Ke London
Rombongan Sarawak ini terbang ke London pada 6 Julai 1963 dengan menaiki pesawat Malayan Airways.  Hanya P. E. H. Pike tidak mengikuti rombongan tersebut kerana beliau telah berada di London lebih awal. Bersama-sama dalam rombongan Sarawak ke London ialah rombongan daripada Tanah Melayu, iaitu Tunku Abdul Rahman bersama wakil-wakil Tanah Melayu yang lain, iaitu Menteri Pos dan Telekom, T. V. Sambathan dan wakil Tanah Melayu ke Washington, Omar Yoke Lin.  Mereka sampai di London pada hari Ahad, iaitu 7 Julai 1963. Setiba mereka di London, mereka telah disambut dalam majlis mengalu-alukan kedatangan mereka oleh Duke of Devonshire dan Persuruhjaya Tinggi Tanah Melayu, Tengku Ya’acob.  

“Hidup Malaysia”
Selepas menandatangani perjanjian itu rombongan Sarawak ini amat berharap Brunei akan menyertai Malaysia pada masa akan datang.  Rombongan ini berlepas pulang dari London ke Sarawak melalui Singapura, dan tiba di Sarawak pada 13 Julai 1963.  Di Lapangan Terbang Kuching, mereka disambut oleh penyokong pro-Malaysia daripada PANAS dan Perikatan Sarawak. Penyokong-penyokong pro-Malaysia ini juga melaungkan slogan “Hidup Malaysia” dan “Merdeka Malaysia.”

Bantahan Indonesia, Filipina
Walaupun perjanjian ini dipersetujui oleh semua pihak yang bergabung, namun ia menghadapi cabaran besar apabila persetujuan tentang tarikh pembentukan Malaysia pada 31 Ogos 1963 telah dipinda kerana bantahan daripada Indonesia dan Filipina. Indonesia dan Filipina mahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu membuat tinjauan di Sarawak dan Sabah.
Secara kesimpulannya tarikh tersebut memberi makna besar kepada sejarah pembentukan Malaysia yang menghadapi cabaran bukan sahaja dari Indonesia dan Filipina, tetapi untuk mematerikkannya juga mengambil masa yang panjang.




Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-12-2024 03:45 PM GMT+8 , Processed in 0.320038 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list