Awas, ini golongan berisiko dijangkiti Covid-19
KUCHING: Kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit diabetes atau kanser merupakan kumpulan yang sangat mudah terkesan dengan jangkitan Covid-19, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“ Kita harus sedar bahawa sistem pertahanan tubuh mereka adalah lebih rendah dan membuatkan mereka mudah dijangkiti Covid-19.
Tahap kesihatan mereka juga mudah merosot apabila dijangkiti Covid-19, sehingga ada yang boleh membawa kepada kematian,” katanya lagi.
“KKM ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua penduduk Malaysia yang telah bersungguh-sungguh dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan dan terus kekal duduk di rumah,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, katanya lagi, terdapat juga segelintir individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab serta mementingkan diri yang cuai dalam mematuhi SOP serta menyebabkan penularan kes atau kejadian kluster dalam komuniti.
“Bak kata pepatah, kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” tegasnya.
Justeru, katanya, KKM ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru masyarakat supaya mengambil iktibar dan tidak mengulangi sikap tidak bertanggungjawab, khususnya semasa sambutan Hari Raya Aidiladha yang akan diraikan pada 20 Julai ini. “Masyarakat diingatkan bahawa larangan rentas daerah dan negeri masih lagi berkuatkuasa. Begitu juga larangan kunjung-mengunjung bagi menyambut perayaan.
Jangan pula dalam keseronokan menyambut Hari Raya Korban menyebabkan kita sama-sama ‘terkorban’ dek kerana Covid-19,” katanya.
sarawakvoice.com/2021/07/19
|