Rumah terbuka, jamuan, ziarah tanah perkuburan tidak dibenarkan sempena Aidiladha
KOTA KINABALU: Rumah terbuka, jamuan, kunjung mengunjung dan ziarah tanah perkuburan sempena sambutan Aidiladha tahun ini tidak dibenarkan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri membuat keputusan itu bagi membendung penularan dan peningkatan kes COVID-19 di Sabah.
"Bilangan jemaah di masjid-masjid atau surau-surau untuk solat sunat Aidiladha, solat jumaat dan solat lima waktu adalah dikurangkan kepada satu per tiga kapasiti ruang atau maksima 30 orang jemaah yang mana lebih rendah.
"Bilangan pengendali sembelihan binatang korban adalah dikurangkan kepada 15 orang sahaja," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Selain itu katanya, semua aktiviti perayaan Aidiladha tahun ini di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah tidak dibenarkan.
Bagaimanapun katanya, pindaan Prosedur Operasi Standard (SOP) itu adalah bersifat sementara sehingga kes-kes harian COVID-19 kembali stabil.
Sementara itu katanya, Sabah mencatatkan sejumlah 647 kes baharu COVID-19 pada 17 Julai 2021 dengan satu kes kematian di Lahad Datu.
Katanya, terdapat satu kluster baharu iaitu Jambatan Liawan, Keningau yang melibatkan jangkitan dalam komuniti di Mukim Tuarid Taud dan Lingkudau di daerah berkenaan.
utusan borneo 2021-07-18T13:00:43+08:00
|