ZOEY dan Zarina dilihat semakin intim.
Kuala Lumpur : "Doakan kami." Itu kata pelakon dan pengacara Zoey Rahman mengenai hubungannya dengan pelakon kontroversi Zarina Anjoulie.
Keintiman pasangan itu mulai menjadi sebutan dalam kalangan pengikut mereka dan warganet selepas kedua-duanya kerap membuat sesi siaran langsung di Instagram.
Malah, hantaran dimuat naik Zoey, 36, di Instagram juga seolah-olah memberi gambaran mengenai hubungan cinta yang terjalin.
Zoey berkata, dia dan Zarina sudah saling mengenali sejak sama-sama terbabit dalam filem Legenda Budak Setan pada 2010.
"Ketika itu kami cuma kawan biasa dan tak rapat pun. Kemudian, masing-masing terputus hubungan. Kami berjumpa semula awal tahun ini di sebuah klinik rawatan kecantikan. Itu pun secara kebetulan. Sejak itu, kami mula berhubung semula sampai sekarang.
"Kalau ditanya adakah kami bercinta, apa boleh dikatakan kami sedang berkawan dan mengenali hati budi," katanya kepada Harian Metro.
Menurut Zoey, sejak hubungan itu mendapat perhatian warganet, dia menerima pelbagai mesej peribadi (DM) dan komen. Ada yang suka dan ada sebaliknya.
"Ramai suka dan ramai juga kecam sebab orang ingat dia lebih berusia daripada saya selain status ibu tunggal dan pernah berkahwin dua kali. Ramai anggap dia negatif dan suruh saya bimbing dia kerana beberapa kontroversi yang mengaitkan dirinya sebelum ini.
"Sebenarnya dia 'gila-gila'. Orang juga tak nampak kebaikan dirinya. Dia selalu bagi orang makan, berikan bantuan barangan dan banyak lagi. Berbanding mereka yang berimej Islamik tapi bersikap sebaliknya.
"Kita ini manusia biasa, jangan menilai orang berdasarkan apa yang nampak. Kita tidak tahu pengakhiran hidup macam mana. Setiap orang ada fasa jahat, baik, jatuh dan bangun. Orang boleh berubah bila-bila masa saja. Sejujurnya, saya tak mampu puaskan hati semua. Mana yang suka, terima kasih. Jika sebaliknya, itu pilihan masing-masing," katanya.
Ditanya adakah itu hanya sekadar gimik bagi melariskan produk rangkaian Mikaseries, Zoey menafikannya.
"Pemasaran, gimik, bukan sama sekali. Saya ada banyak klien profesional. Takkan saya nak buat gimik bukan-bukan. Jadi saya kena profesional.
"Lagi pun kerjasama saya dengan syarikat besar itu sudah ada syarat ditetapkan. Cumanya, apabila perkara ini tular sedikit sebanyak meningkatkan jenama produk saya. Kalau saya nak tumpamg populariti dia, jenama Mikaseries sudah popular dulu," katanya.
Sumber:
https://www.hmetro.com.my