|
KOTA BHARU: Kerajaan negeri serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) diminta supaya mempertimbangkan untuk membenarkan ibadat korban secara persendirian pada Hari Raya Aidiladha ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia hari ini, pelbagai pihak berpendapat kelonggaran itu wajar dipertimbangkan apabila mengambil kira Kelantan kini antara negeri yang sudah beralih kepada fasa kedua Program Pemulihan Negara (PPN).
Setiausaha Persatuan Petani dan Penternak Negeri Kelantan (PPNK), Muhd. Mahfuuzh Said berkata, kebenaran melakukan korban di lokasi terhad, iaitu di rumah sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan masjid tertentu membebankan rakyat.
Foto: Utusan
Menurut beliau, larangan ibadat korban secara persendirian itu juga diumumkan ketika kebanyakan pemilik haiwan korban yang sudah mengeluarkan modal besar untuk membayar permit penyembelihan dan kos vaksin haiwan masing-masing.
“Kami harap Maik mempertimbangkan memberi kelonggaran sebagaimana di Terengganu yang membenarkan ibadat korban secara persendirian sama ada di kawasan lapang serta rumah sembelihan kerajaan dan swasta, asalkan mematuhi SOP.
“Tahun lepas kita di Kelantan juga melaksanakan peraturan sama seperti Terengganu dan semua berjalan lancar, malah rakyat juga mematuhi SOP,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Muhd. Mahfuuzh juga memberitahu, jika Maik tidak memberi kelonggaran, antara beban ditanggung rakyat ialah terpaksa membayar kos pengangkutan, selain ada masjid tertentu mengenakan caj tambahan untuk tenaga kerjanya.
Penduduk Kampung Saring, Pasir Puteh, Abdullah Awang, 50, pula berkata, dia berharap dapat melakukan ibadat korban di rumahnya bersama ahli keluarga sebagaimana dirancang kerana mereka sudah membeli haiwan tersebut.
“Kami sepakat membeli seekor lembu kampung berharga RM3,500 atau RM500 untuk satu bahagian sejak sebulan lalu, sebelum mengupah orang membelanya sehinggalah tiba Hari Raya Aidiladha.
“Jika peraturan ibadat korban ini tidak dilonggarkan, terpaksalah kami batalkan hasrat dan jual semula lembu tersebut kepada orang lain untuk elak kerugian. Lagipun sekarang kos membela lembu semakin mahal kerana harga dedak naik,
Penduduk Kampung Gong Kulim, Mamat Awang Lah, 44, pula berkata, sudah menjadi tradisi rakyat Kelantan melakukan ibadat korban dengan keluarga masing-masing dan jika ia dilakukan oleh mereka yang tinggal serumah atau lokasi sama, sepatutnya tidak menjadi masalah.
“Kalau nak bawa lembu ke rumah sembelihan atau masjid yang ada kelulusan Maik, kami kena tanggung kos pengangkutan pula.
“Selepas saya semak, tidak semua masjid mukim mendapat kebenaran Maik untuk buat ibadat korban kali ini. Kalau ada pun jaraknya jauh dari rumah kami,” ujarnya.- CARI
Sumber: Utusan |
|