31.2 peratus penduduk Sarawak sudah terima vaksin
KUCHING: Sebanyak 31.2 peratus atau 878,626 daripada penduduk Sarawak telah menerima suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Berdasarkan data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang dikongsi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menunjukkan, penduduk Kuala Lumpur kekal penerima tertinggi dos pertama vaksin COVID-19. Sejumlah 884,781 individu 50 peratus daripada keseluruhan penduduk Kuala Lumpur sudah menerima dos pertama, disusuli Putrajaya (36,279/33 peratus), Sarawak (878,626/31.2 peratus), Labuan (30,193/30.3 peratus) dan Perlis (63,504/24.9 peratus). Beliau berkata melalui ciapan di Twitternya hari ini, sejumlah 215,968 dos diberikan di semua pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara semalam, menjadikan jumlah keseluruhan vaksin yang sudah diagihkan meningkat kepada 7,039,072 dos. Daripada jumlah itu, katanya, lebih lima juta individu sudah menerima dos pertama, manakala hampir dua juta individu pula mendapat dua dos lengkap vaksin COVID-19. “Jumlah penerima dos pertama mencecah 5,072,714 orang atau 15.5 peratus daripada populasi negara, manakala 1,966,358 individu atau enam peratus sudah menerima dos kedua,” katanya.
sarawak voice June 26, 2021
|