Edited by Vellfire at 26-6-2021 11:26 AM
Empat lokaliti dikenakan PKPD hari ini
MASIDI
KOTA KINABALU:Terdapat empat lokaliti hari ini telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa 27 Jun sehingga 10 Julai 2021 selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, PKPD itu masing-masing di lokaliti Kampung Pukat Tanjung Batu Laut dan Kampung Baru Pasir Putih, Tawau. "Dua lagi lokaliti yang dikenakan PKPD adalah di Sandakan iaitu Lorong 12, 15 & 16, Taman Fajar dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Murni," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Beliau berkata, pada hari ini jumlah kes positif COVID-19 di Sabah mencatatkan penurunan 47 kes iaitu daripada 203 kes semalam (24 Jun 2021) kepada 156 kes (25 Jun 2021). Katanya, daripada 156 kes jangkitan baharu hari ini, 87 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 29 kes adalah daripada saringan kluster, 18 kes adalah daripada saringan bergejala, sembilan kes daripada saringan bersasar dan 13 kes adalah daripada lain-lain kes.
"12 daerah di Sabah mencatatkan penurunan kes. Sembilan daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu angka, manakala tiga daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua (2) angka iaitu Kinabatangan (-29), Kalabakan (-24) dan Penampang (-14). "Bagaimanapun, 10 daerah mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan lapan daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu angka," katanya. Manakala katanya, dua lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua angka iaitu Tawau 42 kes (+24) dan Kunak 13 kes (+13). Menurutnya, Telupid kekal catatan kes baharu sebagaimana hari semalam iaitu dengan satu kes. Pada hari ini, tujuh daerah mencatatkan sifar kes iaitu Beluran, Kinabatangan, Kalabakan, Ranau, Kuala Penyu, Tenom dan Tambunan.
utusan borneo 2021-06-25T19:59:13+08:00
|