Kota Bharu: Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menafikan gambar tular yang mendakwa beliau keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan PAS.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) itu juga menegaskan, sehingga kini masih bersama PN dan Ahli Parlimen PAS.
"Saya ahli (dalam kerajaan PN) dan Ahli Parlimen PAS. Berdosa saya jika langgar PAS. Besar pahala saya jika istiqamah dengan PAS," katanya yang dihubungi menerusi WhatsApp bagi mengulas perkara itu, hari ini.
Dalam pada itu, Nik Mohamad Abduh memuat naik hantaran di Facebook miliknya dengan mengingatkan semua pihak supaya tidak memfitnah.
![](https://uf.cari.com.my/forumx/mforum/portal/202106/22/144300r3nmd3g3ddduu5mr.png) Kredit foto: Harian Metro
"Janganlah bermain-main dengan fitnah. Anda sedang mempermainkan peringatan besar nabi صلي الله عليه وسلم kepada umatnya di akhir zaman.
"Ia merosakkan hati dan memalingkannya daripada menerima dan mencintai kebenaran," katanya.
Terdahulu, tular sekeping gambar Nik Mohamad Abduh di media sosial yang bertulis 'Saya ikut jejak UMNO keluar kerajaan PN PAS, PPBM, Perikatan Nasional. Insya-Allah bersama tujuh ahli Parlimen PAS'. -CARI
Sumber: Harian Metro |