Edited by Vellfire at 22-6-2021 10:38 AM
572 PATI ditangkap, diusir dari Sarawak
Antara 11 PATI yang diusir di sempadan Serian-Indonesia pada 17 Jun 2021.
KUCHING: Seramai 572 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap dan diusir ketika cuba masuk negeri ini melalui lorong tikus di sempadan Sarawak-Indonesia bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kawalan Keselamatan Sarawak Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing berkata, kejayaan itu menerusi kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi penguatkuasaan lain seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak. Tambah Timbalan Ketua Menteri itu, melalui kerjasama tersebut, operasi bersepadu dalam usaha mengekang aktiviti kemasukan PATI ke Sarawak melalui jalan darat dijalankan. "Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Mancha Ata, dalam tempoh enam bulan pertama dari Januari hingga Jun 2021 melalui tangkapan dan pengusiran oleh PGA dan Polis Sarawak yang mana seramai 572 PATI telah berjaya ditangkap di sempadan Sarawak Indonesia melalui lorong-lorong tikus," katanya dalam kenyataan hari ini.
Masing yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata, dalam tempoh sama, seramai 45 orang tekong warga tempatan dan warga asing ditangkap di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ANTISOM) 2007.
Jelasnya, tangkapan dan pengusiran dilakukan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 Akta 342. Sehubungan itu, beliau menegaskan, pihak berkuasa menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kemasukan PATI ke Sarawak agar memberi kerjasama dan menghubungi pihak berkuasa. "Pada masa yang sama diingatkan bahawa menyembunyikan dan memberi perlindungan kepada PATI merupakan suatu jenayah berat," tegasnya.
utusan borneo 2021-06-21T18:03:16+08:00
|