Edited by Vellfire at 21-6-2021 02:39 PM
COVID-19: 682 kes baharu, dua kematian di Sarawak
KUCHING: Sarawak hari ini merekodkan sebanyak 682 kes baharu dengan dua kematian akibat jangkitan COVID-19, kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS). Menurutnya, daripada 682 kes baharu berkenaan sejumlah 416 atau 61.00 peratus kes dikesan di daerah Kapit, Kuching, Sibu, Bintulu dan Telang Usan. Katanya, Kapit merekodkan kes tertinggi dengan 121 diikuti Kuching (83), Sibu (75), Bintulu (69), Telang Usan (68), Tanjung Manis (48), Tatau (36), Miri (28), Sarikei (27), Bau (24) dan Sri Aman (23). “Daerah lain yang turut mencatatkan kes ialah Mukah (19), Kanowit (17), Subis (11), Meradong (7), Pakan (6), Bukit Mabong (6), Song (3), Limbang (2), Beluru (2), Julau (1), Tebedu (1), Lundu (1), Serian (1), Saratok (1), Sebauh (1) dan Lawas (1).
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di Sarawak meningkat kepada 60,482,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jawatankuasa itu menambah, daripada 682 kes baharu yang dilaporkan, seramai 61 orang telah menunjukkan tanda dan mengalami gejala jangkitan COVID-19 semasa saringan dijalankan.
Manakala, seramai 604 orang adalah terdiri daripada individu diberi arahan perintah kuarantin. “Hari ini juga terdapat dua kes kematian melibatkan jangkitan COVID-19 dilaporkan, menjadikan jumlah kematian di Sarawak meningkat kepada seramai 382 orang,” ujarnya. Katanya, kedua-dua kes kematian itu melibatkan seorang perempuan berumur 85 tahun yang meninggal di Hospital Bintulu dan seorang lelaki berumur 78 tahun di Hospital Sibu. JPBNS turut memaklumkan terdapat 392 kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini.
“Manakala, 686 individu disyaki (PUI) baharu dilaporkan dan satu PUI yang masih menunggu keputusan ujian makmal,” katanya. Mengenai status daerah kawasan COVID-19, JPBNS memberitahu daerah Limbang telah bertukar ke status kuning daripada hijau setelah dua kes jangkitan tempatan baharu dikesan hari ini. Ini menjadikan jumlah daerah berstatus kuning meningkat kepada enam daerah dan daerah berstatus hijau menurun kepada satu daerah. “Daerah Beluru pula telah kembali ke status jingga daripada merah dengan 39 kes jangkitan tempatan yang dikesan dalam tempoh 14 hari yang lepas. “Ini menjadikan jumlah daerah berstatus merah telah menurun kepada 31 daerah dan daerah berstatus jingga meningkat kepada dua daerah,” ujarnya.
Utusan borneo 21/06/2021
|