Sabah rekod dua kematian disebabkan COVID-19 hari ini
MASIDI
KOTA KINABALU: Hari ini Sabah merekodkan dua kematian disebabkan COVID-19 masing-masing di daerah Sandakan dan Semporna.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 163 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 67,541 kes. "Kes baharu itu melihat penurunan sebanyak 38 kes iaitu daripada 201 kes semalam (19 Jun 2021) kepada 163 kes hari ini. "Bagaimanapun, enam daerah mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan lima daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu angka. "Manakala satu lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua angka iaitu Tawau 37 kes (+33).
"Tiga daerah lain yang mencatatkan kes baharu pada hari ini iaitu Kunak (22 kes), Semporna tiga kes dan Kota Marudu dua kes kekal sebagaimana jumlah kes kelmarin," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. Beliau berkata, terdapat dua kluster baru direkodkan iaitu Kluster Jalan Bundusan - Penampang dan Kluster Kg Nelayan Tengah - Sandakan. Sementara itu katanya, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Skim Pamalan, Keningau, Kampung Jaya Baru, Kunak, Taman Wijaya Park, Kota Kinabalu, Kampung Serudung Baru, Tawau dan Ladang Brumas, Kalabakan. Katanya, kesemua PKPD berkuat kuasa 22 Jun sehingga 05 Julai 2021 selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.
utusan borneo 2021-06-20T20:14:22+08:00
|