Enam individu termasuk seorang wanita berusia 21 tahun yang sedang leka berhibur dalam parti liar di sebuah kondominium di Butterworth di sini terkejut dengan kehadiran polis yang melakukan serbuan awal pagi semalam.
Pada operasi kira-kira pukul 2.30 pagi itu, individu berusia di antara 21 hingga 38 tahun itu juga dipercayai sedang khayal dadah.
Sebahagian daripada enam individu yang ditahan semasa mengadakan parti liar di Butterworth awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kesemua mereka ditahan selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berkumpul bertujuan berhibur.
“Polis merampas sebuah pembesar suara dan alat paparan laser yang digunakan bagi parti liar itu.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga lelaki positif syabu, manakala seorang lelaki dan wanita positif ketamin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua individu terbabit dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU di Kepala Batas di sini bagi siasatan lanjut.
Sumber: K! ONLINE |