Kluster Jepak diisytihar di Bintulu libatkan komuniti
KUCHING: Satu lagi kluster baharu COVID-19 diisytiharkan hari ini, iaitu Kluster Jepak di daerah Bintulu yang melibatkan jangkitan komuniti.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan, berkata kluster itu dikesan dalam kalangan penduduk dari sekitar Kampung Jepak di daerah tersebut yang telah menghadiri satu majlis doa selamat perkahwinan dianjurkan di kampung tersebut pada 3 April 2021. “Kes indeks kes kepada kluster ini adalah kes ke-18,498 yang merupakan seorang wanita tempatan dari kampung tersebut yang disaring melalui saringan individu bergejala di Klinik Kesihatan Bintulu dan disahkan positif COVID-19 melalui ujian rT-PCR pada 7 April 2021. “Kes indeks ini juga adalah penganjur kepada majlis doa selamat tersebut dan berkemungkinan telah mendapat jangkitan dari komuniti.
“Hasil siasatan mendapati anggaran seramai 70 orang telah menghadiri majlis tersebut dan siasatan lanjut serta saringan ke atas ahli keluarga, kontak rapat dan kontak kasual kepada kes indeks, tambahan 41 kes dikesan positif COVID-19,” katanya.
Tambah JPBNS, sejumlah 102 individu disaring melibatkan kluster ini, dimana 42 kes dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks, 36 orang negatif saringan pertama dan 24 individu yang menunggu keputusan ujian.
Kesemua kes positif melibatkan kluster ini dirujuk ke Hospital Bintulu dan dimasukkan ke PKRC di Bintulu bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut. Dengan penambahan satu kluster baharu ini, terdapat 49 kluster masih aktif dimana sebanyak 16 kluster telah merekodkan 182 penambahan kes baharu manakala 33 kluster tidak merekodkan penambahan kes. JPBNS turut memaklumkan daerah Kabong telah bertukar status daripada status hijau kepada status kuning setelah merekodkan satu kes jangkitan tempatan baharu pada hari ini. Ini menjadikan jumlah daerah bersatatus kuning telah meningkat kepada 17 daerah dan daerah berstatus hijau telah menurun kepada empat daerah. Empat daerah kekal berstatsu hijau ialah Telang Usan, Lundu, Pusa dan Simunjan manakala daerah berstatus kuning ialah Kabong, Dalat, Daro, Asajaya, Lawas, Bukit Mabong, Belaga, Betong, Lubok Antu, Tatau, Tanjung Manis, Song, Pakan, Tebedu, Bau, Selangau dan Limbang. Manakala 15 daerah kekal berstatus merah iaitu Saratok, Subis, Matu, Mukah, Sarikei, Beluru, Samarahan, Serian, Julau, Meradong, Kuching, Kapit, Bintulu, Miri dan Sibu dengan empat Sebauh, Kanowit, Sri Aman dan Marudi kekal berstatus jingga.
kredit : utusanborneo 14/04/2021
|