Pasangan Eropah dicekup kes dadah
Faris Fuad - Mac 20, 2021 @ 2:18pmfaris.fuad@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Polis menahan pasangan warga Eropah di sebuah kondominium di Jalan Segambut, di sini, hari ini, kerana disyaki terbabit aktiviti penyalahgunaan dadah.
Hasil maklumat pada jam 12 tengah malam tadi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Sentul menyerbu kediaman itu, yang membawa kepada tangkapan lelaki Perancis berusia 30 tahun dan wanita Denmark, 35.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata turut dirampas dadah jenis ganja seberat dua gram bagi membantu siasatan.
"Ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC), manakala wanita itu negatif bahan terlarang berkenaan.
"Wanita itu direman sehari, manakala lelaki berkenaan direman empat hari berakhir Selasa ini. "Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan, hari ini
|