Kuala Lumpur: "Sepanjang lima hari dikurung di dalam sebuah rumah di Ayer Keroh, Melaka, saya hanya beberapa kali sahaja makan nasi dan biskut malah kadangkala tidak diberi makan," kata Muhammad Amirul Shafiq, 25.
Muhammad Amirul berkata, dia tidak menyangka lelaki yang mendakwa ingin membeli telefon bimbit dijualnya itu akan membawa lari dan memerangkapnya.
Menurutnya, dia pada mulanya bertemu dengan lelaki terbabit untuk membuat penghantaran tiga unit telefon pintar Apple iPhone 12 berharga lebih RM17,000 di premis perniagaan di Sungai Besi, 7.30 malam Sabtu lalu.
"Saya ketika itu tunggu hampir sejam kerana lelaki itu memberi alasan ingin mengeluarkan wang terlebih dahulu.
"Sebaik dia tiba, lelaki itu meminta saya mengikut dia masuk ke dalam keretanya di parkir di bawah banggunan itu kononnya tidak mahu orang nampak ketika mengira wang yang dibawanya itu," katanya kepada Harian Metro hari ini.
Katanya, namun ketika berada di dalam kereta itu bersama dua lagi lelaki lain, pembeli itu terus menyembur ubat nyamuk ke mata dan menumbuk sebelum mengikat tangan dan mulut dengan pita pelekat.
"Saya cuba menjerit meminta pertolongan ketika itu namun tiada sesiapa yang menyedari sebelum mereka terus bergerak ke sebuah farmasi di sekitar Sungai Besi.
"Saya kemudian diberi 10 biji ubat dan dipaksa makan menyebabkan mula dalam keadaan separuh sedar," katanya.
Menurut Muhammad Amirul, dia kemudian terus dibawa ke rumah di Ayer Keroh, Melaka dan dikurung di dalam rumah itu bersama lelaki lain dipercayai rakan mereka.
"Pembeli terbabit bersama dua lagi lelaki kemudian meninggalkan saya bersama rakan mereka di rumah itu pada Ahad lalu.
"Malah rakannya yang mengawal saya itu turut menyamar kononnya dia adalah anggota polis dan menahan saya kerana melakukan kesalahan," katanya.
Tambahnya, dia turut bermimpi dirinya diselamatkan polis dan akhirnya menjadi kenyataan apabila dibebaskan selepas polis menyerbu rumah itu malam tadi.
Sementara itu, bapanya, Sudirman Daek, 50, menerima berita anaknya diselamatkan sekitar 12.30 tengah malam tadi.
"Saya bersyukur anak selamat dan berterima kasih kepada pihak polis yang mengesan dan menyelamatkan anak.
"Difahamkan mereka yang melakukan perbuatan itu ke atas anak saya sudah ditahan polis dan tidak lupa juga saya mengucapkan terima kasih kepada Harian Metro yang menyiarkan berita kehilangan anak," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon ketika dihubungi mengesahkan mangsa sudah diselamatkan dan akan memberi kenyataan media berhubung kejayaan itu.
Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang bapa buntu memikirkan nasib anak lelakinya selepas gagal dalam usaha menjejaki lelaki itu sejak dilaporkan hilang di Sungai Besi di sini, pada Sabtu lalu.