CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1494|Reply: 3

8 Undang-Undang Malaysia Yang Mungkin Dianggap Pelik

[Copy link]
Post time 29-1-2021 10:11 AM | Show all posts |Read mode

Dengan denda sehingga RM5,000 dan beberapa hukuman penjara sehingga dua tahun, ada undang-undang Malaysia yang mungkin dianggap pelik. (Gambar Rawpixel)


FMT

Tsen Ee Lin

Jika anak Elon Musk, X Æ A-Xii dilahirkan di Malaysia, tidak mungkin bilionair tu akan dapat mendaftarkan nama berkenaan untuk bayinya.

Daripada dilarang membaling cincin ke dalam sungai, hinggalah menyanyi Despacito di tempat awam – peraturan pelik berikut berkemungkinan menyebabkan anda didenda, malah juga dipenjarakan di Malaysia.

Teruskanlah membaca undang-undang paling pelik di negara ini, yang mungkin tanpa disedari telah pun dilanggar anda sendiri.

1. Menamakan anak dengan nama buah, warna atau kereta Jepun.


Gwyneth Paltrow menamakan anaknya Apple (epal), namun usah mimpilah untuk melakukan sebegitu di Malaysia. (Gambar Rawpixel)


Anak Elon Musk sudah pastilah sukar didaftarkan namanya di kaunter pendaftaran Malaysia, namun begitu juga untuk anak Beyonce, Blue Ivy Carter, dan Gwyneth Paltrow, Apple, kedua-duanya anak perempuan.

Menurut Seksyen 16 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, Pendaftar mempunyai kuasa untuk membantah nama yang tidak mematuhi garis panduan Jabatan Pendaftaran Negara.

Halangan dikenakan terhadap nama yang merangkumi warna, haiwan, buah, sayur, elemen alami, nombor, makanan malah ajektif atau kata sifat.

Jadi bagi peminat ‘rap’ atau pencinta makanan, kalau pernah mengimpikan untuk menamakan anak anda Lil’ Siti atau Cendol Tan satu hari nanti, lebih baiklah kuburkan saja hasrat itu.

2. Melintas jalan selain di tempat khusus disediakan


Lintasan belang bukan saja menyelamatkan nyawa malah menjimatkan wang. (Gambar Rawpixel)


Melintas jalan selain di tempat yang dikhususkan adalah dilarang di Malaysia, walaupun sebenarnya sudah menjadi kebiasaan untuk kita semua menggunakan ‘kuasa tangan’ dihalakan ke arah lalu lintas ketika menyeberangi jalan.

Bagaimanapun, undang-undang menetapkan perbuatan melintas jalan selain di lintasan belang atau jejantas sebenarnya satu kesalahan.

Kegagalan mematuhi undang-undang ini, yang termaktub di dalam Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1999 membawa hukuman denda minimum RM30 dan maksimum RM500.

3. Mencampakkan cincin ke dalam sungai


Pada hari April Fools sekalipun, mencampakkan cincin seseorang ke dalam sungai mungkin menyebabkan anda didenda. (Gambar Rawpixel)


Daripada mencampakkan cincin ke dalam sungai, hinggalah mencairkan rumah ais, senario pelik ini dikatakan tindakan nakal dalam undang-undang di Malaysia.

Disenaraikan sebagai perbuatan khianat, mereka yang mencampakkan cincin atau mencairkan ais akan didenda jika perbuatan mereka didapati berniat jahat.

4. Perbuatan tak senonoh di tempat awam


Bercumbu atau tidak? Fikirkan sejenak. (Gambar Pexels)


Pasangan bercinta patut berfikir sejenak sebelum menayangkan kasih sayang dengan terlalu terbuka menjelang Hari Valentine kelak.

Mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan berkelakuan tidak sopan dan mendatangkan kegusaran orang lain di tempat awam seperti taman, jalanan malah teater boleh menyebabkan anda didenda atau dipenjara tiga bulan.

Pada 2006, satu pasangan didapati bersalah kerana bersikap ‘tidak sopan’ di taman awam. Kesalahan mereka bercumbu dan berpeluk di bawah pokok.

5. Denda RM100 jika anjing anda mengejar seseorang yang tidak dikenali


Comel, tapi ngeri juga kalau dikejarnya. (Gambar Pexel)


Anda berada di taman awam apabila anjing kesayangan anda Fluffy tiba-tiba terlepas dan mengejar seseorang yang tidak dikenali semata-mata mahu bermain dengannya – malangnya anda dan Fluffy masing-masing kini melakukan kesalahan.

Menurut Akta 336, ‘Anjing mengejar orang’ memang wujud, dengan pemilik anjing akan dipertanggungjawabkan dan didenda RM100 jika anjing mereka ditangkap mengejar orang yang tidak dikenali.

6. Menerima makanan dan minuman daripada orang tidak dikenali sebelum dan selepas mengundi


Ya, sekalipun menerima snek seperti roti boleh menyebabkan masalah untuk anda. (Gambar Rawpixel)


Jika seseorang menawarkan anda snek ketika beratur untuk mengundi, tolak saja dengan sopan.

Bagaimanapun, jika menerima pelawaan itu sebelum mengundi, jangan terkejut jika anda diarahkan keluar dari barisan.

Malah, risikonya tinggi dengan kemungkinan dipenjara sehingga dua tahun, denda RM5,000 dan dihalang daripada mengundi sehingga lima tahun mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

7. Menyanyi lagu tidak sopan di tempat awam


Lebih baik jangan ‘menggusarkan’ orang seperti dinyatakan dalam seksyen 294 (b) Kanun Keseksaan


Despacito, atau mungkin juga Despaci-no (tidak!).

Kalau diterjemahkan ke bahasa Inggeris dari bahasa Sepanyol asal, lagu Despacito dianggap terlalu lucah untuk didengar umum malah menyanyikannya di tempat awam memungkinkan anda dipenjara sehingga tiga bulan.

Dengan lirik berbaur unsur seksual, stesen radio dilarang memainkan Despacito pada 2017.

Selain irama berbaur seksual, lagu Take Me to Church oleh Hozier juga dilarang di radio disebabkan kandungannya berunsur agama.

8. Menilik ramalan


Selain unsur mistik, tukang tilik ini mungkin juga ‘dihantui’ undang-undang. (Gambar Pexel)


Menjual bakat menilik anda untuk meramalkan masa depan orang lain?

Bagi tukang tilik dan bomoh di luar sana, lebih baik meramal bahawa pelanggan seterusnya bukan anggota polis, jika tidak ada kemungkinan anda dikenakan denda atau hukuman penjara.

Akta 336 menjadikan perbuatan menilik dan meramal masa depan termasuk menilik tapak tangan kesalahan yang boleh didenda sehingga RM250 atau dipenjara sehingga enam bulan.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 29-1-2021 12:33 PM | Show all posts
apa yang peliknya

churchill lihat undang-undang itu semua selari dengan Maqasid Shariah

churchill bersyukur kepada Yang Maha Pemurah memberi churchill peluang lahir dan hidup di atas Tanah Melayu-Malaysia ini

alhamdulillah

Reply

Use magic Report

Post time 29-1-2021 12:55 PM | Show all posts
lintasan belang tu ada 2 fungsi

1. tempat melintas
2. tempat moto berhenti waktu lampu merah
Reply

Use magic Report

Post time 31-1-2021 12:35 PM From the mobile phone | Show all posts
Yg no 7 tu lawak la...aman2 je lagu tu dinyanyikan di serata tempat baru nk diharamkan,its to late...
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-1-2025 01:01 PM GMT+8 , Processed in 0.094044 second(s), 16 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list