|
Vancouver: Sanggup menyamar pekerja pembersihan motel untuk mendapatkan vaksin Covid-19.
Itu tindakan mementingkan diri pasangan jutawan dari Kanada ini yang sanggup menyamar untuk mendapatkan vaksin lebih awal yang disediakan kerajaan khas untuk penduduk setempat.
Pemilik kasino Kanada, Rodney Baker, 55, dan isteri, Ekaterina Baker, 32, sanggup terbang dengan pesawat peribadi, lebih 1,600 kilometer, ke komuniti terpencil di Yukon untuk mendapatkan vaksin Moderna.
New York Post melaporkan, pasangan itu 'kantoi' ketika mahu kembali semula ke Vancouver apabila pegawai polis diberitahu oleh kakitangan klinik yang keliru atas permintaan mereka untuk dibawa ke lapangan terbang.
Foto: Agensi
Polis bertindak menahan pasangan itu dan kes disiasat mengikut Akta Tindakan Kecemasan Sivil Yukon iaitu gagal mengasingkan diri dan gagal mengikuti pernyataan perjalanan pada 21 Januari. - Agensi
Hukuman maksimum yang mereka hadapi masing-masing AS$1,150 (RM4,652) atau enam bulan penjara.
Rodney kemudian mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Great Canadian Gaming Corporation yang dilaporkan memperoleh keuntungan AS$10.6 juta (RM43 juta) pada 2019.
Menteri Perkhidmatan Komuniti Yukon, John Streicker memberitahu CBC, apa yang dilakukan mereka meletakkan komuniti dan pasukan pengasingan dalam risiko.
"Saya cukup marah dengan tindakan mereka," katanya.
Kakitangan di klinik bergerak di Beaver Creek memberikan vaksin kepada kira-kira 100 penduduk tempatan.
Pasangan jutawan itu didakwa berbohong dengan pekerja di klinik mengenai tempat tinggal dan pekerjaan, menurut Yukon News.
Tetapi pasangan itu menimbulkan curiga ketika mereka meminta dihantar ke lapangan terbang selepas menerima suntikan vaksin mereka, kata Streicker.
Mereka sepatutnya menjalani kuarantin di tempat disediakan tetapi pegawai menemui mereka di lapangan terbang sedang bersiap untuk terbang kembali ke Vancouver, kata laporan itu.
Streicker juga tidak menyangka ada pihak yang berusaha sedaya upaya untuk menipu pasukan keselamatan untuk mendapatkan vaksin. - CARI
Sumber: Harian Metro |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|