Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mencadangkan kepada syarikat produksi yang sedang menjalankan aktiviti penggambaran di negeri yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) supaya segera pulang ke ibu kota.
Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, tindakan itu adalah untuk mengelakkan sebarang kesulitan.
Kredit foto: IG Ahmad Idham
"Finas mencadangkan kepada mana-mana syarikat produksi yang sedang menjalankan aktiviti penggambaran di negeri yang dikuatkuasakan PKPB untuk segera pulang ke ibu kota.
"Ini adalah untuk mengelakkan sebarang kekangan dan kesulitan sebelum perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara kecuali negeri Sarawak berkuat kuasa pada 22 Januari ini," katanya.
Pihaknya juga sudah mendapatkan pencerahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung perkara itu.
"Untuk makluman, Finas melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sudah mendapatkan pencerahan daripada pihak MKN berhubung perkara itu.
"Oleh itu, Finas mengesyorkan kepada mana-mana syarikat produksi yang ingin melakukan perjalanan pulang membabitkan pergerakan rentas negeri perlulah mendapatkan kelulusan pergerakan merentas daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menyertakan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) yang dikeluarkan oleh Finas sebagai dokumen sokongan," katanya.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan mengenai perlaksanaan PKP di seluruh negara kecuali Sarawak bermula 22 Januari ini.
Sumber: Harian Metro |