Enggan insiden yang 'mencemari' penganjuran Anugerah Juara Lagu edisi tahun lalu berulang, pihak produksi Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) mengambil langkah berjaga-jaga dengan mewajibkan setiap finalis AJL35 menandantanggani satu surat perjanjian.
Menurut Penerbit Eksekutif AJL35, Nurhul Huda Khalid, langkah itu terpaksa diambil bagi memastikan kesemua finalis memahami dan mengikuti segala garis panduan ditetapkan produksi.
"Untuk penganjuran kali ini, pihak kami mengambil langkah berjaga-jaga yang mana kesemua 12 finalis akan diminta menandatanggani surat perjanjian yang mana memberikan garis panduan untuk persembahan mereka nanti.
"Surat yang dibuat pasukan legal (guaman) TV3 itu bagi memastikan setiap penyanyi yang bertanding tahu apa yang boleh dan tidak boleh dibuat mereka untuk persembahan pada malam itu nanti.
"Elemen yang tidak boleh ditunjukkan dalam persembahan mereka antaranya seperti isu politik, keganasan serta pakaian yang digayakan juga tidak boleh terlalu seksi dan menghairahkan," katanya kepada mStar.
Penerbit Eksekutif AJL35, Nurhul Huda Khalid.
Kredit foto: mStar
Nurhul Huda juga menambah, penyanyi yang bertanding perlu menunjukkan persembahan penuh mereka dalam sesi latihan raptai dan tidak boleh melakukan sebarang kejutan yang tidak diketahui pihak produksi.
"Macam tahun lalu, pihak kami memang tidak tahu akan ada elemen kejutan dan gimik seperti yang dibuat oleh sebuah kumpulan. Memang mereka tidak tunjukkan elemen tersebut pada sesi raptai penuh.
"Jadi untuk tahun ini, finalis yang bertanding perlu menunjukkan kesemua elemen yang akan dimasukkan dalam persembahan mereka agar tidak akan mencetuskan kontroversi seperti tahun lalu," ujarnya.
Tahun lalu, persembahan Drama Band menerusi lagu Drama mencetuskan kontroversi apabila konsep yang diketengahkan mereka, cynical parody dengan menggunakan pelbagai karakter figura terkenal menerima kecaman hebat netizen.
Selain itu, penampilan Aina Abdul menerusi lagu Sumpah juga menerima kritikan apabila busananya pada malam itu disifatkan seolah-olah memberikan gambaran bunuh diri.
AJL35 yang bakal berlangsung pada 7 Februari ini akan bersiaran langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam, pukul 9 malam. Ia akan disiarkan menerusi TV3.
Sumber: mStar |