Bintang filem Tamil, Rajinikanth. - Foto AFP
CHENNAI: Bintang filem India, Rajinikanth, hari ini membatalkan perancangannya untuk menyertai politik berikutan masalah kesihatan, yang disifatkan sebagai 'amaran daripada tuhan'.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas bintang filem Tamil berusia 70 tahun itu keluar daripada hospital selepas menerima rawatan akibat tekanan darah tinggi.
Rajinikanth, yang juga antara pelakon Asia bergaji paling tinggi, menerima sambutan hangat daripada peminatnya apabila mengumumkan akan menubuhkan parti politik, awal bulan ini, dalam usaha menjadikan kerajaan Tamil Nadu 'bebas rasuah'.
Bagaimanapun, bekas konduktor bas itu memaklumkan tidak dapat meneruskan perancangannya itu dalam satu surat yang dimuat naik di akaun Twitter miliknya.
Rajinikanth, yang sudah beberapa kali berdepan masalah kesihatan, berkata isu kesihatan terbaru itu bagaikan 'amaran daripada tuhan'.
"Saya mohon maaf kerana terpaksa memaklumkan bahawa saya tidak akan menubuhkan parti politik.
"Saya akan berkhidmat untuk masyarakat menerusi apa jua cara yang termampu, tanpa terbabit dalam politik pilihan raya," katanya menerusi surat yang ditulis dalam bahasa Tamil itu.
Rajinikanth berkata beliau enggan memulakan kempen secara besar-besaran tetapi kemudian meninggalkannya separuh jalan.
Bintang filem itu mula menyatakan hasrat untuk menyertai politik pada 2017, namun peminatnya terpaksa menunggu hingga awal bulan ini, apabila beliau mengumumkan partinya akan mengangkat politik 'jujur dan telus' di Tamil Nadu.
Beliau pernah membuktikan pengaruhnya dalam politik pada 1996, apabila menggesa peminatnya menentang kerajaan Tamil Nadu, yang kemudian disingkirkan daripada pemerintahan.
Rajinikanth masih meneruskan kerjayanya sebagai bintang filem walaupun berdepan masalah kesihatan dan terbabit dalam penggambaran untuk filem terbarunya di Hyderabad sebelum jatuh sakit minggu lalu. |