Gambar fail menunjukkan Pierre Cardin (tengah) menghadiri pertunjukan fesyen koleksi khas beliau di Ciragan Palace, Istanbul. - Foto AFP
PARIS: Pereka fesyen Perancis, Pierre Cardin, yang diangkat kerana visi rekaannya menghasilkan pakaian bergaya, meninggal dunia pada usia 98 tahun hari ini, kata keluarganya kepada AFP.
Cardin, yang dilahirkan dalam keluarga berpendapatan rendah di utara Itali sebelum menjadi pereka berstatus bintang berpusat di Perancis, menghembus nafas terakhir di hospital di Neuilly di barat Perancis.
"Ini adalah hari yang amat menyedihkan untuk keluarga kami. Pierre Cardin sudah tiada," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan sama, pereka fesyen itu meninggalkan 'warisan kesenian yang amat unik' melebihi bidang fesyen kepada Perancis dan dunia sepanjang hayatnya yang menghampiri satu abad.
Dilahirkan dalam suasana miskin pada 1922 berhampiran Venice, Itali, keluarganya berpindah ke Perancis ketika beliau masih kecil.
" Pierre Cardin yang berdarah Itali, tidak pernah melupakan asal-usulnya, di samping memberikan sepenuh kasih sayang kepada Perancis," kata keluarganya.
Empayar globalnya meninggalkan kesan yang kuat di Jepun, selain menjadi antara syarikat fesyen pertama menandatangani perjanjian pengeluaran dengan Kesatuan Soviet pada 1978 ketika era Perang Dingin.
Beliau juga menjadi pereka fesyen Perancis yang pertama menjalin hubungan dengan China pada 1979, selain menjadi pereka pertama mengadakan pertunjukan fesyen di Red Square, Moscow pada 1991, yang menarik 200,000 tetamu.
Bagaimanapun, francais dan jenama Cardin yang digunakan secara meluas mula menunjukkan penurunan dan pada 2011, mendorong beliau cuba menjual label fesyennya, namun tidak berjaya. |