CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3426|Reply: 2

Pesona Rimbunan Bunga Matahari - Berita Harian

[Copy link]
Post time 27-12-2020 05:10 PM | Show all posts |Read mode

Bunga matahari atau nama saintifiknya helianthus annuus tumbuh mekar di Sunflower Garden, Bagan Datuk, Perak.- Foto/ Noor Hidayah Tanzizi


Noor Hidayah Tanzizi
bhnews@bh.com.my

Bagan Datuk, Perak lazimnya akan mengingatkan kepada sejarah kesultanan Melayu kerana di daerah kecil itu terletaknya Beting Beras Basah.

Beting Beras Basah menjadi lokasi sangat penting bagi istiadat diraja Perak yang juga susur galur daripada Kesultanan Melayu Melaka, Sultan Muzaffar Shah ketika baginda mula tiba di muara Sungai Perak.

Daerah yang terletak kira-kira 135 kilometer dari Ipoh itu pastinya menyimpan sebahagian sejarah Perak dan suasana pekan dengan deretan bangunan lama mengembalikan memori silam.

Selain mengamati sejarah, biasanya kunjungan pengunjung ke Bagan Datuk untuk beriadah di Waterfront Bagan Datuk selain merasai keenakan juadah soto yang sinonim dengan pekan kecil itu.

Ironinya pekan kecil itu jarang dikunjungi 'orang luar' kerana lokasinya yang agak terpencil dan 'sepi' namun kini ia semakin mendapat perhatian dengan tarikan baru iaitu taman bunga matahari di Sunflower Garden, di Bagan Sungai Burung.

Suasana damai di kampung

Penulis juga berkesempatan berkunjung ke taman seluas 0.8 hektar yang mempunyai 2,000 pokok bunga matahari yang menjanjikan keindahan alam semula jadi dalam suasana perkampungan.

Perjalanan yang agak jauh dan melalui beberapa perkampungan tradisional cukup mendamaikan dan perasaan terus teruja apabila kami disajikan panorama taman serta keceriaan warna bunga matahari yang memberikan aura positif.

Pencinta bunga matahari atau nama botaninya helianthus annuus juga tidak perlu ke ladang bunga matahari di Thailand yang terkenal dengan keindahan flora itu ketika pintu sempadan negara masih ditutup akibat pandemik COVID-19.

Penulis juga sebelum ini menyimpan hasrat untuk berkunjung ke negara gajah putih itu, namun kini tidak lagi apabila flora itu sudah boleh dilihat di dalam negara.

Pertumbuhan flora itu juga sangat unik kerana ia menghasilkan satu bunga untuk satu pokok dan dari morfologinya, ia mempunyai daun lebar dan berselang-seli kedudukannya pada tangkai yang menegak.

Bunga matahari mempunyai kelopak bunga yang berbentuk tirus di hujungnya dan berwarna kuning cerah selain mengelilingi cakera berbentuk bulat.

Panorama indah seperti di Thailand

Pengunjung dari Manjung, Munirah Musthpar, 29, berkata, rimbunan bunga matahari yang ditanam dalam jarak rapat memberikan panorama indah dan merakam gambar menarik.

Kunjungan pertamanya ke taman bunga itu selepas ia dibuka sejak tahun lalu dan mengakui terpesona melihat keindahan bunga matahari yang cukup terkenal di Thailand.

"Saya memang menyukai bunga matahari kerana keunikannya hanya mempunyai satu bunga pada satu pokok selain kombinasi warna bunga dan daun memberikan aura positif.

"Saya berhasrat mengunjungi ladang flora itu di Thailand, namun kerana situasi wabak COVID-19 ketika ini dan penutupan sempadan membatalkan hasrat itu, tetapi kini berpuas hati kerana taman bunga matahari sudah ada di Bagan Datuk dan tidak terlalu jauh dari Manjung," katanya.

Sepanjang perjalanan teruja melihat perkampungan yang mendamaikan dan kanak-kanak memancing ikan di parit di tepi jalan yang memberikan pengalaman menyeronokkan kepadanya.

"Untuk sampai ke taman bunga itu kita perlu melalui perkampungan dan jalan masuknya pula agak sunyi dan ada ladang sawit juga tetapi ia berbaloi selepas melihat bunga matahari yang mekar seolah-olah menyapa kunjungan pelawat.

"Jika datang lewat petang kita juga boleh melihat keindahan matahari terbenam di jeti dan ia boleh dianggap seperti bonus selepas melihat bunga matahari," katanya.

Teruja lihat kuntuman bunga matahari

Pengunjung, Ariana Shah Shamin, 45, berkata, keindahan bunga itu mengamit untuk ke Bagan Datuk biarpun terpaksa menempuh perjalanan sejauh 50 kilometer dari Sabak Bernam, Selangor.

"Saya terkejut kerana di Bagan Datuk ada taman bunga matahari seindah seperti di Thailand dan ini membuatkan saya gembira dan teruja.

"Selepas ini kita sudah tidak perlu ke luar negara untuk melihat dan bergambar dengan bunga matahari kerana dalam negara juga sudah ada taman flora itu sekali gus menyokong industri pelancongan dalam negara," katanya.

Beliau berkata, taman bunga itu juga nyatanya memberikan kelebihan meneroka daerah Bagan Datuk dengan cara tersendiri dan menambahkan produk pelancongannya.

"Sebelum ini saya pernah ke sini tetapi hanya pergi ke pekannya saja dan kali ini kunjungan ke taman ini turut membawa saya meneroka perkampungan yang ada di sini," katanya.

Jadi tarikan pelancong

Pemiliknya, Khor Weng Kiang, 46, berkata, taman bunga matahari itu dibuka bersama enam rakan baiknya sejak tahun lalu untuk merancakkan lagi pelancongan domestik.

Katanya, mereka mempunyai 2,000 pokok bunga matahari yang mengambil masa 90 hari untuk berbunga.

"Idea taman ini tercetus selepas melihat pengunjung mengambil gambar bersama bunga matahari dan saya bersama rakan terfikir mahu memanfaatkan tanah dengan tanaman ini.

"Bunga di sini untuk hiasan semata-mata dan bukan untuk kauci. Ketika ini kami tanam secara berperingkat supaya pokok boleh berbunga sepanjang tahun," katanya.

Taman bunga itu kini menjadi tarikan baharu di Bagan Datuk dan ia menjadi tumpuan ramai bukan saja pengunjung dari dalam dan luar daerah ini, luar Perak.

"Setiap hari memang ramai yang datang terutama pada hujung minggu dan menjadi lokasi pilihan pengantin mengambil gambar kenangan.

"Pesona bunga matahari dengan keceriaan warnanya memang memberikan hasil gambar terbaik tetapi pengunjung perlu peka warna baju supaya hasilnya lebih cantik," katanya.

Taman itu dibuka setiap hari pada 9 pagi hingga 7 malam dengan bayaran bermula RM5 hingga RM13 mengikut usia dan 'port' bergambar turut disediakan seperti buaian, tangga langit, arca berbentuk hati dan aktiviti memberi ikan makan.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 27-12-2020 05:38 PM From the mobile phone | Show all posts
Iols tanam bunga yang besar tak jadi2 lagi.
Sekarang yang instaworthy ladang bunga matahari, zinnia dan cosmos.

Reply

Use magic Report

Post time 27-12-2020 05:55 PM From the mobile phone | Show all posts
sharlenetexas replied at 27-12-2020 05:38 PM
Iols tanam bunga yang besar tak jadi2 lagi.
Sekarang yang instaworthy ladang bunga matahari, zinnia ...

Kenapa tak jadi sis?mati ke xberbunga2...smg manjadi la pasnih projek sis
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

26-4-2024 10:59 PM GMT+8 , Processed in 0.285703 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list