|
Kota Bharu: Objek terapung dibawa arus sungai yang disangkakan tilam buruk rupanya mayat seorang lelaki.
Mayat lelaki berusia 41 tahun itu ditemui penduduk di Sungai Kelantan, Kampung Kesing, di sini pada 9.30 pagi hari ini dalam keadaan tertiarap dan berpakaian lengkap.
Penduduk, Mohd Zuhar Zaidi, 40, berkata, dia turun ke sungai itu pada 9 pagi untuk menahan umpan udang bagi menangkap ikan dengan menaiki perahu.
"Tidak lama kemudian saya ternampak satu objek dalam sungai kelihatan seperti tilam, namun tidak mengendahkannya.
"Apabila perahu saya semakin menghampiri, objek itu seperti manusia kerana saya nampak rambut timbul di permukaan sungai bersama sebahagian tubuhnya.
"Objek itu terlekat di bot milik ayah yang berada di tebing sungai dan saya pulang ke rumah untuk memberitahu ayah mengenai penemuan itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Mohd Zuhar berkata, dia dan bapanya, Zaidi Musa, 74, kembali ke lokasi dan mengikat kaki mayat berkenaan di bot dan menghubungi pihak berkuasa.
Menurutnya, keadaan mayat sudah membengkak dan berbau, malah terdapat beberapa calar dan luka di bahagian belakang pinggang serta pipi mangsa.
"Ini kali kedua saya menemui mayat di sungai ini dan kejadian pertama berlaku lima tahun lalu membabitkan kanak-kanak," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud mengesahkan menerima laporan mengenai penemuan itu.
Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk proses bedah siasat dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 2:34 PM
|
|