|
Cradle Fund: Samirah maklumkan kejadian menimpa Nazrin tidak perlu beritahu keluarga - Saksi
Bernama
Samirah, 45, dan dua remaja lelaki, masing-masing berusia 17 dan 14 tahun, serta seorang wanita Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, didakwa membunuh Nazrin. -Foto Astro AWANI
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, tertuduh pertama bagi kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan, memaklumkan tidak perlu memberitahu keluarga terdekat Nazrin berhubung kejadian yang menimpa mangsa.
Saksi pendakwaan ke-24 kes itu pegawai bomba Abdul Malek Mat Dui, 45, memberitahu mahkamah, tertuduh pertama yang juga isteri mangsa Samirah Muzaffar, berkata sedemikian ketika beliau bertanya kepadanya sama ada telah menghubungi keluarga Nazrin atau tidak.
Abdul Malek yang merupakan pegawai bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya memberitahu mahkamah mengenai perkara itu, ketika memberi keterangan berhubung kes kematian Nazrin di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman, di sini.
"Ketika saya tiba di rumah mangsa (Nazrin), saya melihat anggota polis berada di tingkat bawah berdekatan pintu utama rumah. Terdapat juga orang awam berdekatan dengan polis, selain anggota bomba dari Balai Bomba Damansara.
"Saya bercakap dengan isteri mangsa dan menyerahkan telefon bimbit. Saya dimaklumkan telefon bimbit itu diambil dari tempat terbakar (bilik Nazrin)," katanya.
Beliau berkata, telefon bimbit itu diserahkan dalam keadaan basah oleh seorang anggota bomba kepadanya dan turut memintanya, supaya menyerahkannya kembali kepada isteri Nazrin.
"Saya tak pasti siapa yang menyerahkan telefon bimbit itu. Kemungkinan anggota bomba dari Balai Bomba Damansara, tapi saya tidak pasti siapa kerana dia memakai penutup muka.
"Saya lihat telefon bimbit itu basah dan saya cuba bantu isteri mangsa (Samirah) untuk membuka telefon itu. Pada waktu sama saya tanya isteri mangsa, dah bagi tahu ke ahli keluarga mangsa? Tetapi isteri mangsa cakap tidak perlu," katanya.
Abdul Malek berkata, beliau juga cuba membantu Samirah membuka telefon bimbit tersebut tetapi gagal, kerana telefon tersebut dalam keadaan basah.
Beliau kemudian bertindak mengeluarkan kad sim yang berada di dalam telefon bimbit tersebut, dengan tujuan supaya kad sim itu dapat digunakan untuk menghubungi keluarga Nazrin.
"Saya meminta alat untuk mengeluarkan kad sim daripada isteri mangsa dan dia (Samirah) memberi saya pin atau jarum, saya tidak pasti.
"Saya gunakan alat itu untuk keluarkan kad sim dan apabila dikeluarkan, saya minta isteri mangsa masukkan kad sim ke telefon bimbit lain, yang boleh diguna untuk menghubungi keluarga mangsa," katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah, mengapa beliau mengeluarkan kad sim daripada telefon bimbit tersebut.
Samirah, 45, dan dua remaja lelaki, masing-masing berusia 17 dan 14 tahun, serta seorang wanita Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, didakwa membunuh Nazrin.
Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.
Perbicaraan bersambung esok.
-- BERNAMA |
Rate
-
2
View Rating Log
-
|