Lima ditahan berikutan video tular remaja perempuan berusia 18 tahun dibelasah empat wanita di Empangan Jajar, Kampung Gong Duek, Besut, kelmarin, lapor Harian Metro.
Menurut Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Abdul Rozak Muhammad, mangsa membuat laporan selepas menyedari rakaman video kejadian yang berlaku kira-kira 6 petang itu tular di laman sosial, semalam.
Kredit foto: Harian Metro
Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa yang juga pembantu kedai makan melepak di lokasi kejadian bersama seorang rakan perempuan sebelum didatangi lapan wanita menaiki empat motosikal.
Difahamkan, empat daripadanya yang dikenali mangsa kemudian bertindak menumbuk dan menendang di seluruh anggota badannya hingga mengalami calar di bahagian muka serta sakit di bahagian perut dan dada.
Kejadian dipercayai berlaku akibat salah faham antara mangsa dengan salah seorang suspek dikenalinya sebelum ini.
"Mangsa mendakwa rakaman video kejadian yang menjadi tular di laman sosial itu dirakam menggunakan telefon bimbit oleh salah seorang suspek dikenalinya.
"Susulan laporan dibuat di Balai Polis Pasir Akar, lima daripada lapan suspek berjaya ditahan kira-kira jam 10 malam tadi dan usaha memburu tiga lagi suspek sedang giat dijalankan," katanya.
Tambahnya, mereka direman sehingga 14 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. - CARI |