Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Selangor, Mohammad Ibrahim hari ini menyelar Ahli Parlimen DAP, Dr Kelvin Yii yang menempelak sinis kenyataan pimpinan PAS untuk menggantung penjualan arak.
Menurut Harakah Daily, Mohammad Ibrahim menyifatkan sindiran Kelvin mencadangkan gantung jualan kereta jika mahu menggantung penjualan arak sebagai kenyataan yang amat memalukan.
Kredit foto: FB Kelvin/Harakah Daily
"Bagi saya, kenyataan ini bagaikan Dr Kelvin tidak membaca fakta kes kemalangan yang membabitkan pemandu mabuk. Apatah lagi kemalangan membabitkan pemandu mabuk ini amat kerap berlaku hingga meragut nyawa orang awam," katanya.
Beliau juga menyifatkan kepimpinan parti itu ketandusan idea dan tidak melihat keresahan rakyat dalam isu ini sebagai keutamaan.
"Saya ingin menegaskan bahawa nyawa orang awam adalah satu keutamaan yang harus difikirkan kerajaan secara serius kerana hal ini telah menjadi satu lagi punca pertambahan kemalangan, khasnya kemalangan maut di jalan raya atau di lebuh raya.
"DAP tidak perlu berpolitik secara budak-budak kerana kes ini membabitkan nyawa orang awam yang tidak bersalah.
"Selagi arak dibenarkan dijual secara berleluasa, maka pemabuk yang menjadi ‘pemandu berbahaya’ ini akan mencari mangsa di jalanraya lagi," katanya lagi. - CARI
BACA JUGA: Henti Jual Kereta Elak Kemalangan - Wakil DAP Sindir PAS Gesa Gantung Jualan Arak |